Isu pengairan, banjir belenggu 50 pesawah Paya Kangsar -

Isu pengairan, banjir belenggu 50 pesawah Paya Kangsar

TIGA orang pesawah menunjukkan kawasan yang akan dipulihkan untuk tanaman padi tetapi kekurangan kewangan dan kemudahan di Paya Kangsar, Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hasrat 50 pesawah memulihkan semula sawah terbiar seluas kira-kira 200 hektar terbantut berikutan masalah pengairan, banjir dan beberapa penyelenggaraan kawasan di Paya Kangsar, Pulau Tawar di sini.

Rata-rata pengusaha berharap kerajaan tidak lepas tangan dalam soal bantuan pemulihan sawah di situ terutamanya dalam sistem pengairan dan pembinaan saliran air, penyelenggaraan kawasan seperti membina pagar dan batas ban untuk menghalang pencerobohan kerbau serta kemudahan-kemudahan lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesawah, Rosman Hussain, 54, berkata, setelah 50 tahun terbiar begitu sahaja, kawasan sawah terbabit mula dipulihkan sejak dua bulan lalu berikutan generasi baharu di Pulau Tawar mahu mencapai impian untuk menanam padi sebagai usaha memenuhi dasar sekuriti makanan selain menyara ahli keluarga.

“Pesawah di sini bertekad dengan mengumpulkan wang hampir RM50,000 untuk menyewa jentera pembajak, pembelian jentera pengepam, benih padi, serta kerja pengurusan lain.

“Kami bimbang benih padi yang mula tumbuh di beberapa kawasan di sini akan ditenggelami air selepas hujan lebat berikutan tidak ada sistem saliran dan batas yang sempurna bagi memudahkan aliran air keluar ke tempat lain,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Lotfi Jamaluddin, 50, berkata, selain kawasan tanaman padi mudah ditenggelami air, terdapat kira-kira 50 hektar sawah lagi masih tidak mendapat saliran air yang secukupnya menyebabkan sehingga kini benih masih belum ditanam.

“Hal ini berpunca pesawah ini tidak mendapat bekalan air daripada Sungai Pahang berdekatan kawasan ini dan kita memohon pihak berwajib membaik pulih sistem saliran atau pembetung supaya air dapat masuk ke sawah.

“Sekiranya gagal memperoleh bekalan air, kawasan kontang (tanpa air) yang siap dibajak ini berkemungkinan kami akan rugi kerana tidak dapat ditabur benih padi sedangkan belanja pengurusan dengan wang sendiri sudah banyak dikeluarkan,” katanya.

Bagi Abdul Rahman Isa, 55, pula, dia berharap kerajaan dapat membina pagar untuk mengelakkan pencerobohan kerbau yang kerap mencari makanan di situ.

“Kita tidak mampu menyediakan kewangan untuk membina pagar dan batas ban yang besar antara sempadan sawah ini kerana kos menyewa jentera pembajak, membeli enjin pam air dan pengurusan lain sudah mencecah RM20,000,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya bersungguh-sungguh untuk memulihkan sawah terbiar itu kerana kawasan ini subur dan berpotensi mengeluarkan hasil padi dalam tempoh tiga bulan ini serta pada masa musim akan datang untuk keperluan makanan dan pasaran.

Seorang lagi pesawah, Hamdan Hassan, 58, berkata, mereka berharap wakil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat turun ke sawah Paya Kangsar untuk melihat sendiri masalah dihadapi oleh pesawah di situ supaya projek tanaman padi dapat diteruskan.

“Tanah terbiar ini merupakan milik nenek moyang penduduk Pulau Tawar yang difahamkan sejak 200 tahun lalu sudah pun mengusahakan tanaman padi oleh mereka terdahulu sebagai keperluan makanan,” ujarnya.

Ujarnya, sawah terbiar itu pernah dipulihkan semula untuk tanaman padi pada 1981, tetapi gagal selepas dua tahun akibat masalah tertentu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya