SKANDAR PUTERI: Peminat ikan laga atau dikenali ikan betta berpeluang mendapatkan pelbagai baka dan warna ikan berkenaan di Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 yang berlangsung di sini hingga 18 September ini.
Peniaga ikan laga, Mohd. Herman Md. Lahir, 42, berkata, ikan-ikan berkenaan boleh dibeli pada harga RM20 hingga RM100 seekor mengikut baka dan warnanya.
Menurut beliau, penjagaan ikan tersebut lebih mudah dan murah jika dibandingkan dengan jenis ikan peliharaan lain.
“Selain warna dan bentuknya yang cantik, ikan laga ini semakin memukau apabila membuka siripnya seolah-olah hendak ‘bertarung’.
“Walaupun kelihatan agak kasar, tetapi penjagaan ikan ini mudah dan murah jika hendak dibandingkan dengan mana-mana jenis ikan lain.
“Paling utama, ikan laga ini gemar tinggal bersendirian dan kolamnya juga tidak memerlukan paip oksigen, cukup air tanpa klorin seperti air mineral atau air mesin penapis,” katanya kepada Utusan Malaysia di gerainya, Boss Selatan.
Ia adalah salah sebuah daripada 230 gerai jualan yang dibuka sepanjang tempoh 11 hari penganjuran FMJ 2022 yang turut melibatkan peniaga dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.
FMJ 2022 disasarkan dapat menarik kehadiran antara 500,000 hingga 700,000 pengunjung domestik dan luar negara menerusi 32 acara utama termasuk pertunjukan sukan tempur Muay Thai, persembahan kebudayaan, permainan tradisional serta konsert artis terkenal tanah air.
Festival berskala mega itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC).
Mohd. Herman berkata, ikan laga juga sesuai dijadikan haiwan peliharaan oleh kanak-kanak seawal usia 11 tahun kerana mampu menerapkan nilai disiplin dalam diri untuk menjaga ikan berkenaan, iaitu memberi makan dan mengganti air dua kali seminggu.- UTUSAN