KUALA SELANGOR: Hospital Tanjong Karang yang baru siap dibina di sini yang juga hospital pakar minor akan mula beroperasi sepenuhnya kepada umum 10 Oktober depan.
Hospital yang mula dibina pada 2018 itu akan menggantikan bangunan lama hospital berkenaan yang berusia lebih 56 tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 10 bidang kepakaran diperkenalkan di hospital itu secara berfasa antaranya pembedahan, kecemasan, ginekologi, pediatrik, ortopedik, radiologi dan patologi.
“Hospital Tanjong Karang baharu turut menawarkan khidmat pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi, oftalmologi, psikiatrik dan forensik.
“Menerusi kepakaran hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan,” katanya ketika berucap menyaksikan penyerahan projek hospital itu, hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Jelas Khairy, hospital pakar minor kedua di Selangor itu bakal memberi manfaat kepada lebih 300,000 penduduk di sekitar daerah ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Parit Baru dan Klinik Desa Kampung Batu 4 Sepintas, Sabak Bernam yang musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.\
“Kita sudah meluluskan peruntukan dan perolehan darurat bagi kedua-dua fasiliti kesihatan berkenaan.
“Peruntukan itu termasuk kerja menaik taraf bangunan dan penggantian peralatan perubatan yang terjejas akibat kebakaran,” katanya. –UTUSAN