PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sikap kerajaan yang berdiam diri dalam soal kerugian berbilion ringgit akibat penyusutan nilai mata wang negara.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan harus melaksanakan reformasi struktur ekonomi dengan segera untuk mengawal penurunan nilai mata wang ringgit atau terpaksa berdepan kesan buruk inflasi akan berlaku terhadap perniagaan, kos sara hidup rakyat dan hutang kerajaan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).
“Ringgit jatuh ke paras terendah di dalam 24 tahun RM4.54 berbanding dolar AS semalam.
“Bagaimanapun, ringgit juga baru-baru ini merosot ke paras terendah di dalam sejarah RM3.26 berbanding dolar Singapura manakala rupiah Indonesia mengukuh lebih daripada empat peratus tahun ini berbanding ringgit.
“Sama ada penyusutan nilai ringgit berbanding tiga daripada rakan dagangan utama kita ini dilihat oleh kerajaan sebagai krisis atau tidak, kerajaan mesti menerima pakai reformasi struktur ekonomi dengan segera untuk mengawal penurunan begitu cepat ringgit.
“Jika tidak, kesan buruk inflasi akan berlaku terhadap perniagaan, kos sara hidup rakyat dan hutang kerajaan kita dalam dolar AS,” katanya dalam satu kenyataan.
Guan Eng turut mengaitkan prestasi ringgit dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) apabila mendakwa kerajaan perlu membayar tambahan RM7.7 bilion untuk membayar semula prinsipal tiga bahagian bon dolar AS berjumlah AS$6.5 bilion yang telah diaturkan oleh Goldman Sachs untuk 1MDB.
“Bon AS$ 6.5 bilion dolar yang diterbitkan pada tahun 2012 (AS$1.75 bilion pada 5.75 peratus setahun dan AS$1.75 bilion pada 5.99 peratus setahun) dan pada 2013 (AS$3 bilion pada 4.4 peratus setahun), akan matang pada 2022 dan 2023 apabila kekuatan dolar AS berada pada tahap tertinggi di dalam 24 tahun.
“Pada RM3.35 berbanding dolar AS apabila tiga bon 1MDB AS$ diterbitkan, jumlah prinsipal AS$6.5 bilion akan mencecah kira-kira RM21.8 bilion. Pada kadar pertukaran semasa RM4.54 kepada dolar AS, jumlah prinsipal yang perlu dibayar untuk AS$6.5 bilion akan menjadi lebih tinggi pada RM29.5 bilion atau RM7.7 bilion lebih tinggi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata faedah terkumpul sepatutnya berjumlah lebih RM1 bilion setahun dan RM10.5 bilion dalam sedekad yang lalu.
“Ringgit yang lebih lemah tahun ini bermakna kos faedah tahunan adalah sekitar RM1.5 bilion dan bukannya RM1 bilion,” katanya. –UTUSAN