GTA sudah dapat kelulusan sementara RoS - Utusan Malaysia

GTA sudah dapat kelulusan sementara RoS

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Pendaftaran Gerakan Tanah Air (GTA) sudah mendapat kelulusan sementara daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam usaha gabungan tersebut turut serta dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kelulusan sementara itu bermaksud GTA sudah pun menerima nombor persatuan dan bakal melalui beberapa lagi proses sebelum diluluskan secara rasmi.

Susulan itu, katanya, gabungan berkenaan amat berharap agar proses berkenaan dipercepatkan tanpa timbul sebarang masalah.

“Dalam komunikasi antara RoS dengan Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya, nampaknya macam dah tak ada apa lagi yang boleh lewatkan atau halang kelulusan GTA.

“Jadi, kita harap kelulusan itu dapat dibuat secara rasmi, secepat mungkin. Janganlah tunggu sehari dua sebelum PRU baru nak luluskan,” katanya dalam sidang akhbar pada program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerusi yang bakal ditandingi, Mukhriz berkata, GTA turut menyasarkan untuk bertanding di kawasan pinggir bandar yang memiliki undi campuran selain kawasan majoriti Melayu.

Menurutnya, seperti ketika beliau berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu, Pejuang bersama GTA dijangka bertembung dengan UMNO serta Pas dalam pilihan raya akan datang.

Justeru, katanya, pihaknya perlu meyakinkan orang Melayu untuk tidak lagi menyokong kedua-dua parti pesaing tersebut. 

“UMNO dengan masalah penyelewengan dan Pas pula gagal menguruskan segala benda. Kementerian-kementerian yang diuruskan Pas pun, tak berjalan juga.

“Di Kedah ini pun rakyat dapat menilai kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan saya kira ramai yang ternanti-nanti untuk menolak beliau selain tempiasnya akan terkena kepada Pas sekali. Apabila kepimpinan gagal, maka parti pun turut perlu ditolak,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya penerimaan bukan Melayu terhadap GTA, Mukhriz berkata, ketika ini pihaknya sedang menjalankan perbincangan secara dalaman tentang bagaimana mahu membolehkan wakil-wakil mereka terlibat dengan proses pilihan raya melalui gabungan itu.

“Sekarang, mereka ini bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama kami dalam GTA. Jadi kita nak terokai mana-mana ruang yang melibatkan mereka hingga ada calon yang bertanding, menang serta sama-sama menubuhkan kerajaan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya