JOHOR BAHRU: Melintas sahaja gerai Segamat, ramai yang tertarik dengan seni ukiran dan warna pelbagai gasing yang dijual.
Nyata kreativiti pengusaha Drifwood Art, Mohd. Yunus Ismail, 51, sentiasa menjadikan gerainya sempena Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 yang berlangsung mulai 8 hingga 18 September ini tumpuan para pengunjung.
Hasilnya, beliau mengakui jualan pelbagai jenis gasing pada harga RM10 hingga RM20 mendapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang ingin memiliki alat permainan tradisional tersebut.
Malah, Mohd. Yunus yang juga Pengurus Drifwood Art turut mengambil stok jualan di gerai di Segamat bagi memenuhi permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Bagi pasaran tempatan, saya menerima tempahan sebanyak 1,800 biji gasing mini sebulan daripada ejen-ejen di seluruh negara terutamanya dari kraf tangan negeri.
“Saya turut menerima banyak tempahan terutamanya dari negara Eropah seperti Jerman, Itali dan United Kingdom yang tertarik dengan seni dan kehalusan gasing mini yang saya buat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sempena FMJ 2022, Mohd. Yunus turut membuat demonstrasi membuat gasing mini yang boleh ditempah oleh para pengunjung dan siap dalam masa 15 minit.
Pengunjung yang singgah ke gerainya boleh memilih bentuk dan warna gasing mini yang diingini.
Sepanjang 11 hari FMJ 2022 berlangsung, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk pameran, jualan produk makanan dan minuman, persembahan kebudayaan dan konsert.
Sebanyak 25 agensi kerajaan dan swasta menyertai pameran, 150 gerai jualan dan makanan serta 80 gerai yang menjual pelbagai pelbagai keperluan, termasuk dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Festival tersebut dianjurkan Tourism Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC). –UTUSAN