SABAK BERNAM: Projek penanaman kelapa sawit di atas tanah seluas kira-kira 100 hektar di Sungai Mendeleng dan Sungai Tengar didakwa terbengkalai lebih 10 tahun lalu dan perlu digantikan dengan penanaman pokok bakau bagi mengurangkan risiko hakisan tanah dan banjir akibat fenomena pasang besar dan musim tengkujuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau difahamkan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebelum ini mahu menanam kelapa sawit seperti di Teluk Mendeleng dan Sungai Tengar.
“Namun, ia tidak dilaksanakan lebih 10 tahun dan mereka sepatutnya memfokuskan penanaman pokok bakau yang berfungsi mengelak banjir teruk berlaku di kawasan DUN ini,” katanya ditemui selepas merasmikan Mangrove Project Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) Selangor di Teluk Mendeleng, Sungai Air Tawar hari ini.
Ketua Pembangkang Selangor itu menambah, isu penanaman bakau itu turut pernah disuarakan di Sidang DUN, namun, tiada tindakan serius dilakukan setakat ini.
Pada program itu, sebanyak 200 pokok bakau ditanam di kawasan berkenaan yang disertai 120 pelatih dan pihak pengurusan kolej komuniti tersebut.
Dalam pada itu, Rizam memuji usaha penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif menanam sendiri pokok berkenaan.
“Sehingga kini, lebih 10,000 pokok bakau sudah ditanam mereka tanpa bantuan pihak berwajib. Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan perhatian serius kerajaan negeri demi kepentingan rakyat yang berdepan kesulitan jika banjir melanda kelak,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Rizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan memaklumkan penilaian semula perlu dibuat bagi menentukan kos sebenar bagi membina semula Klinik Kesihatan Parit Baru di sini yang hangus dalam kebakaran semalam.
“Saya akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung kos yang diperlukan untuk pembinaan itu. Perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk diperhalusi kelak,” jelasnya. –UTUSAN