TELUK INTAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia menyalurkan bantuan kepada 6,000 usahawan kraf di seluruh negara yang terjejas akibat Covid-19 melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau Pemulih.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, bantuan itu yang telah disalurkan sejak April lalu adalah untuk merancakkan kembali industri kraf negara dengan setiap usahawan menerima RM1,500 seorang.
“Inisiatif ini akan membantu mereka sama ada digunakan sebagai yuran program, suntikan modal tambahan atau untuk membeli bahan mentah bagi menambah pengeluaran produk mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Festival Kraf@Perak 2022 di Dataran Menara Condong di sini kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff yang mewakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Saraya Arbi.
Pada majlis itu, seramai 21 orang daripada 300 usahawan kraf di Perak hadir bagi menerima bantuan Pemulih.
Mengenai Festival Kraf@Perak 2022, Abdul Halim berkata, festival itu mengetengahkan dan mengangkat pelbagai produk kraf tempatan seperti inovasi batik tanah liat.
Beliau berkata, produk seramik daripada tanah liat yang sinonim dengan negeri ini diinovasikan penggunaan bahan tanah liat sebagai alternatif kepada bahan lilin untuk menghalang warna dalam proses membatik.
Inovasi batik tanah liat ini telah memberi satu identiti batik Malaysia yang sangat unik terutama di negeri Perak.
Maklumat berkaitan batik tanah liat ini ada dipamerkan bagi orang ramai mengenali batik itu dari Perak.
“Batik tanah liat ini adalah produk identiti negeri Perak dan ia sesuatu yang baharu, biasanya orang tahu batik dari Pantai Timur, jadi kita mahu mengembangkan batik ini.
“Inovasi ini satu perkembangan yang positif bagi meningkatkan dan memperbanyakkan dan mempelbagaikan lagi produk kraf tempatan,” kata Abdul Halim.
Menurutnya, penggunaan tanah liat sebagai alternatif lilin dengan motif batik beridentitikan tempatan adalah inovasi baharu Kraftangan Malaysia untuk penghasilan batik yang lebih selamat dan mudah dikendalikan.
“Sebelum ini lilin digunakan sebagai penghalang warna tapi di negeri ini kita menggunakan tanah liat sebagai penghalang warna, inovasi ini juga lebih mesra alam,” katanya.
Sementara itu, Festival Kraf@Perak 2022 di sini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak bermula sejak 25 Ogos lalu hingga 5 September pada Isnin ini.
Ia dianjurkan melalui inisiatif Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi membantu penggiat industri dari pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran acara pelancongan, seni dan budaya yang berimpak tinggi.
Pada majlis itu, Kraftangan Malaysia menerima Sijil Pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) bagi tiga produk kraf di Perak iaitu labu sayong, tekat benang emas dan tembikar Pulau Tiga.
Turut menerima Sijil Pemfailan Paten Sebatian Penghalang Warna Batik Untuk Industri Tekstil (Batik Clay) hasil kajian inovasi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. – UTUSAN