Dua beradik antara lima lelaki didakwa edar dadah

Dua beradik antara lima lelaki didakwa edar dadah

LIMA lelaki yang dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine Jumaat lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret Tapah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Lima lelaki termasuk dua beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 113.4 kilogram Jumaat lalu.

Tertuduh A. Tanabalan, 31; L. Vicnesh, 30; R. Suresraj, 33;  bersama dua beradik, R. Sathiswaran, 30, dan R. Sivaraj, 29, didakwa mengedar dadah disyaki methamphetamine seberat 111,326 gram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Mukim Chenderiang dalam daerah Batang Padang, Tapah pada pukul 9.45 pagi, 26 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima mereka selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pada prosiding sama, Tanabalan turut didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis sama seberat 2,075g di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Majistret Siti Hanum menetapkan 13 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Media pada Isnin lalu melaporkan, lima lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah makmal memproses dadah di sebuah bangsal di dalam hutan dekat Chenderiang, Tapah.

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah itu berjaya merampas dadah bernilai RM6.62 juta. 

Serbuan tersebut membongkar kegiatan sindiket yang aktif memproses dan mengedar dadah sejak Jun lalu di mana dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran luar Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya