SHAH ALAM: Dua bekas pegawai kanan sebuah hospital swasta berdepan penjara 20 tahun dan denda RM450,450 dan RM1 juta selepas dituduh meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh Wong Soon Kee dan Mahendran Reganathan yang dituduh dalam prosiding berasingan, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Dalam prosiding pertama, Soon Kee, 65, yang merupakan bekas pengurus projek di hospital berkenaan berdepan empat pertuduhan iaitu meminta suatu suapan lima peratus bagi setiap nilai kontrak dekat restoran dalam pusat beli belah di Subang Jaya antara Januari hingga Jun 2016 sebagai dorongan membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak pembekalan peralatan perubatan.
Bagi tiga pertuduhan lagi, warga emas itu dituduh menerima suapan sebanyak RM90,090 daripada syarikat tersebut secara berperingkat dekat sebuah cawangan bank di Subang, antara 30 September 2016 hingga 17 Januari 2020.
Sementara dalam prosiding seterusnya, Mahendran, 52, pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu meminta RM250,000 pada Januari 2018 dekat daripada sebuah syarikat hartanah dekat restoran dalam pusat beli belah berlainan di Subang Jaya sebagai dorongan untuk melantik sebagai broker bagi menguruskan pembelian tanah dan pembesaran hospital di Cheras itu.
Bekas ketua pegawai operasi itu juga dituduh menerima suapan sebanyak RM200,000 daripada syarikat berkenaan pada Oktober 2019, di lokasi tersebut.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd. Anas kemudian menawarkan jaminan kepada Soon Kee dan Mahendran sebanyak RM50,000 dan RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM berdekatan.
Bagaimanapun, peguam mewakili Soon Kee, Joachim Maria memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dan tertuduh tidak perlu melapor diri ke pejabat SPRM berdasarkan faktor kesihatan dan statusnya yang tidak bekerja.
Sementara peguam, Ungku Ikram Abdul Aziz yang mewakili Mahendran pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan mengambil kira faktor tertuduh mempunyai tanggungan tiga orang anak dan hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan.
Malah, kedua-dua peguam juga menyifatkan jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan sebagai terlalu tinggi dan bersifat hukuman sedangkan anak guam masing-masing diberitahu memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
Rozilah kemudian membenarkan ikat jamin terhadap Soon Kee sebanyak RM40,000 dan Mahendran RM70,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Bagaimanapun, beliau tidak mengenakan syarat lapor diri di pejabat SPRM berdekatan kepada Soon Kee selepas mengambil kira faktor kesihatannya.
Hakim juga memutuskan tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen untuk kes kedua-dua tertuduh pada 4 Oktober. –UTUSAN ONLINE