Dua ah long didakwa peras peminjam wanita - Utusan Malaysia

Dua ah long didakwa peras peminjam wanita

TAN Ang Kang (dua dari kanan) dan Yeoh Teck Kiat (tiga dari kiri) dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban, Seremban 2, Seremban hari ini bagi didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan melakukan pemerasan kepada peminjam wang yang merupakan seorang wanita.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan kepada seorang peminjam wanita pada bulan September lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tan Ang Kang, 42, dan Yeoh Teck Kiat, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Salleh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 45 tahun.

Pemerasan itu mendorong dengan curangnya supaya mangsa menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Axia dan wang berjumlah RM200.

Kesalahan itu dilakukan di lot kedai berdekatan sebuah kolej swasta di Mantin, Nilai pada 13 September lalu.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Seremban, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan pinjaman wang tidak berlesen di hadapan hakim, Diana Md. Razali.

Mengikut pertuduhan, mereka menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah kepada peminjam wanita yang sama di Pekan Taman Semarak, Nilai di sini pada 26 Mei lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda minimum RM250,000 tetapi tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun dan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM14,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes akan disebut semula 25 Oktober depan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya