TANJUNG MALIM: Satu cadangan mengenai pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) melibatkan dua buah sekolah Orang Asli di Parlimen ini telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, dua buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang, Sungkai dan SK Pos Bersih, Slim River.
Menurut Hang Soon, KPM disarankan tidak menunggu sehingga asrama dibina di dua buah sekolah itu untuk membolehkan ia menjadi sekolah K9.
“Saya telah mengemukakan cadangan kepada KPM supaya kalau dapat tidak perlu bina asrama, kita guna kelas sedia ada yang dijadikan bilik darjah.
“Saya rasa buat masa ini kita boleh memikirkan cara bagaimana untuk mewujudkan dan cari perjawatan mana-mana yang sesuai supaya boleh kita mulakan konsep K9 di SK Jernang dan Pos Bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sharp dan sumbangan pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bersih, Slim River di sini hari ini.
Hang Soon berkata, cadangan berkenaan perlu dilaksanakan segera memandangkan ia penting untuk mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan pelajar-pelajar Orang Asli di sekitar dua buah sekolah tersebut.
Sebelum ini, Hang Soon berkata, pelaksanaan sekolah K9 mampu menangani masalah keciciran pelajar dalam kalangan Orang Asli.
Beliau berkata, KPM tidak perlu membina asrama baharu untuk pelaksanaan K9 sebaliknya boleh menggunakan bilik darjah atau bangunan sedia ada disamping menyediakan guru serta peralatan yang lengkap pada peringkat permulaan.
Sementara itu, Hang Soon merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Sharp Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (Sharp Malaysia) atas sumbangan Smart Classroom Solution kepada dua buah sekolah di kawasan Orang Asli dalam negeri Perak iaitu SK Pos Bersih dan SK Jernang.
Katanya, sumbangan Smart Classroom ini selaras dengan program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan yang sedang berlangsung bagi meningkatkan aspek pendigitalan serta teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah. – UTUSAN