KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, sekiranya masih dicalonkan di kerusi Parlimen tersebut, beliau sedia mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi sejak 1999.
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 9,478 undi dalam pertembungan tiga penjuru bagi menentang calon Parti Warisan (Warisan) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Sabah).
Bung Moktar memperoleh sebanyak 14,465 undi menewaskan pencabar terdekatnya Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan yang memperoleh 4,987 undi.
Biarpun pada ketika ini beliau berhadapan dengan pertuduhan kes di mahkamah namun, perkara itu tidak akan menjejaskan kepimpinan BN Sabah menjelang PRU15.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, biarpun berhadapan kes mahkamah namun, ia tidak akan menjejaskan tugas beliau mengetuai BN Sabah pada PRU15.
“Walaupun tidak dinafikan ia menjadi kekangan tapi, saya cuba mengasingkan masalah peribadi dan kepimpinan dalam menguruskan parti sebab itu adalah keutamaan.
Politik
“Kalau saya cakap tidak (ganggu), mustahil pula. Tapi, saya sudah lama dalam politik dan saya yakin boleh atasi masalah-masalah ini,” katanya selepas perasmian Program Gelombang Biru di Kota Belud hari ini.
Mengulas lanjut katanya, senarai calon BN pada PRU15 telah dikenal pasti melalui beberapa siri tinjauan.
Beliau berkata, senarai itu akan dianalisis dan dalam proses untuk dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahi Hamidi.
Bung Moktar berkata, calon dipilih sendiri dalam kalangan pemimpin-pemimpin BN Sabah dan bukannya ditentukan oleh pimpinan Pusat.
Namun, secara lazimnya, watikah pelantikan akan diberikan oleh Pengerusi BN.
Jelas beliau, kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh BN pada PRU15 juga telah dikenal pasti namun, belum boleh didedahkan pada masa ini.- UTUSAN