Bot karam, 4 nelayan selamat - Utusan Malaysia

Bot karam, 4 nelayan selamat

SERAMAI empat nelayan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi, Pulau Pinang dalam kejadian awal pagi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai empat nelayan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi dekat sini dalam kejadian awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun bernasib baik apabila berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  Pulau Pinang 10.45 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi daripada pengadu yang juga mangsa bot karam tersebut.

Sebaik sahaja menerima laporan tersebut jelas beliau, bot PERKASA 1220  Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan pemantauan di sekitar lokasi aduan.

Tambahnya, keadaan laut yang bergelora serta lokasi yang tidak tepat bagaimanapun menyukarkan anggota Maritim Malaysia negeri melakukan pencarian.

“Namun, bot PERKASA 1220 akhirnya menjumpai keempat-empat mangsa bot karam tersebut dalam keadaan selamat sedang berpaut di bot yang terbalik.

“Kesemua mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada di dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. 

Katanya, pemilik bot juga dinasihatkan berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN