Bomba siap siaga hadapi banjir tidak kira PRU15 atau tidak -

Bomba siap siaga hadapi banjir tidak kira PRU15 atau tidak

ANGGOTA bomba menjalani latihan mengguna helikopter pada Latihan dan Persediaan Jabatan Menghadapi Fenomena Monsun Timur Laut di Tasik Temenggor di Gerik hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi keutamaan kepada mangsa banjir terlebih dahulu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesiapsiagaan JBPM sentiasa berada di paras tertinggi berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi beserta jangkaan lokasi-lokasi bakal terjadinya banjir tidak kita semasa pilihan raya atau tidak.

Menurutnya, beliau percaya kerajaan lebih peka mengenai keselamatan dan ketenteraman rakyat semasa musim tengkujuh untuk mengadakan PRU.

“Kita tidak akan sentuh tentang PRU15, tetapi, katakan berlaku juga (PRU) dalam bencana banjir, kita akan pastikan kawasan-kawasan kritikal ini (hotspot banjir) rakyat itu berada dalam keadaan selamat.

“Apa pun bencana kita akan berada di dalam keadaan siap siaga sama ada dalam PRU atau bukan dalam PRU di mana saya rasa secara logiknya kerajaan lebih peka tentang keselamatan dan ketenteraman rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir melihat Latihan dan Persediaan Jabatan Menghadapi Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) 2022 di Tasik Temenggor di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, meskipun JBPM mempunyai rancangan utama dan sokongan, beliau percaya rancangan terbaik adalah untuk memastikan keselamatan rakyat terjaga.

“Plan A atau Plan B saya rasa rancangan terbaik adalah untuk memastikan rakyat selamat. Itu sahaja dan keadaan kawasan terjejas ini kita beri perkhidmatan yang terbaik bukan sahaja Bomba malah agensi yang lain juga,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini. 

Namun, kenyataan itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mengatakan pelaksaan PRU-15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab. 

Beliau berkata, ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya