KOTA BHARU : Penulis lirik terkenal tanah air dan juga pelakon Bob Lokman sempat mengadu sakit kepada adiknya Nik Azuddin Nik Yusoff, 51, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1 tengah hari tadi.
Nik Azuddin berkata, sebelum itu, dia datang ke rumah abangnya pada pukul 8 pagi tadi dan arwah ada mengadu sakit belakang sehingga tidak boleh baring dengan sempurna.
Menurutnya, dia ada memujuk arwah untuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, arwah menolak dan memaklumkan bahawa dia sudah putus asa untuk menjalankan rawatan. Saya sedih melihat keadaannya dan hanya mampu menggosok belakang badan arwah selain meminta dia bertahan untuk seketika.
“Selepas itu, saya pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, namun, dikejutkan dengan berita kematian abang kira-kira dua jam kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah arwah Bob Lokman di sini hari ini.
Nik Azuddin memberitahu, arwah abangnya itu sudah dua hari tidak makan kerana tiada selera dan hanya minum air dalam tempoh tersebut.
Katanya, arwah meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak yang berusia lapan hingga 28 tahun.
Sementara itu, anak kedua arwah Bob, Omar Hakim Mohd. Hakim, 28, berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir di sini kira-kira pukul 9 malam ini.
Katanya, arwah ayahnya sakit sejak lebih 30 tahun lalu selepas dikesan sakit tulang belakang.
“Selepas itu, ayah saya disahkan menghidap penyakit jantung, kencing manis dan paru-paru berair. Dia terlantar selepas dia mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.
“Arwah sudah mengadu sakit belakang yang keterlaluan sejak dua hari lalu. Apabila saya mengajaknya ke hospital, dia tidak mahu,” ujarnya.
Sebelum ini, penulis lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan Search itu terpaksa bergantung nyawa dengan jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).
Bob turut perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan bagi memantau tahap kesihatannya dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital.
Jun lalu, Bob turut mendedahkan bateri jantungnya hanya berbaki 10 peratus dan boleh pergi menghadap Ilahi pada bila-bila masa. –UTUSAN