SUNGAI PETANI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan memberi tumpuan di daerah Baling dan Kulim bagi menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada pertengahan November hingga Mac ini.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, dua daerah tersebut dikenal pasti sebagai lokasi panas dan berisiko banjir susulan rekod data sejak tiga tahun lalu.
Katanya, Baling dan Kulim mengalami banjir pada tiga tahun berturut-turut sejak 2019 setiap kali menjelang fasa peralihan cuaca berkenaan, justeru, pihaknya akan memberi lebih tumpuan di dua daerah tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 53 kawasan tumpuan di Baling dan 25 kawasan tumpuan di Kulim yang telah dikenal pasti berisiko mengalami banjir ketika musim ini.
“Selain itu, kita juga akan memberi tumpuan kepada 373 kawasan panas lain yang berisiko banjir di Lembangan Sungai Kedah dan Lembangan Sungai Muda,” katanya pada sidang akhbar latihan Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah menghadapi monsun timur laut di sini, hari ini.
Sementara itu, Awang Askandar berkata, sebanyak 35 aset di darat dan 53 aset di air termasuk peralatan berkaitan pengurusan bencana di air akan digerakkan bagi menghadapi monsun kali ini.
“Daripada aspek pergerakan pasukan, keanggotaan, kemahiran individu dan pasukan, aset serta logistik, kita telah uji dan semuanya dalam keadaan bersedia.
“Kita juga tidak bekukan cuti anggota yang bergantung kepada keputusan pihak tertinggi, tetapi walaupun bercuti sewaktu bencana, mereka boleh dipanggil untuk bertugas pada bila-bila masa,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga mengingatkan orang awam terutamanya ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing.
Katanya, mereka yang tinggal di lokasi yang berisiko dinasihatkan supaya tidak membiarkan anak-anak bermain di kawasan rendah dan di air.
“Keadaan pada hari biasa amat berbeza dengan keadaan pada musim tengkujuh kerana lebih berisiko kepada bencana, jadi ibu bapa perlu lebih berwaspada,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Awang Askandar berkata, APM turut membuat pemantauan berterusan terhadap fenomena air pasang di Kuala Kedah dan Kota Kuala Muda.
“Paras air semalam setinggi 2.8 meter dan pagi esok dijangka mencecah 2.9 meter, ada kawasan dinaiki air namun tidak menyebabkan kemusnahan harta benda atau mengancam keselamatan orang awam.
“Kita tetap menghantar anggota bertugas di situ bagi memberi memberi kelegaan dari sudut psikologi kepada penduduk selain menasihatkan mereka agar sentiasa berwaspada,” katanya. –UTUSAN