Ah long silap ugut, keluarga peniaga ketakutan - Utusan Malaysia

Ah long silap ugut, keluarga peniaga ketakutan

YEO QUECK HUI (tengah) menunjukkan nota ditinggalkan suspek manakala anaknya menunjukkan gambar kereta disimbah cat merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga hidup  ketakutan selepas menjadi sasaran ah long biarpun tidak pernah meminjam daripada ceti haram berkenaan.

Yeo Queck Hui, 66, mendakwa, kejadian pada 13 Ogos itu disedari apabila pintu rumah dan dua buah kereta miliknya  yang diletakkan di halaman rumah di Jalan Gunung 8, Bandar Seri Alam, Masai disimbah cat merah.

Menurut Queck Hui, ah long berkenaan turut meninggalkan nota di pagar rumah yang tertera nama, nombor kad pengenalan dan alamat lelaki itu serta nombor telefon suspek untuk dihubungi. 

“Saya tidak kenal orang bernama Ong Chee Wei seperti yang tertera pada nota itu, malah alamat itu juga bukanlah merujuk rumah saya.

“Kami tidak pernah meminjam dengan ah long. Jadi, saya anggap mereka tersilap sasaran kerana nombor rumah yang sama, namun jalan yang berbeza,” kata peniaga barang elektrik ketika ditemui selepas meminta bantuan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, dekat sini . 

Susulan itu, warga emas itu membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada hari sama kejadian.

Bercerita lanjut,  keluarganya dikejutkan sekali lagi dengan ugutan ah long   apabila ternampak   kesan terbakar pada badan kereta Toyota Camry dan pagar rumahnya pada Selasa lalu.

“Setelah anak saya menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada nombor suspek itu menjelaskan bahawa mereka tersalah orang, lelaki itu tetap tidak mempedulikan perkara itu.

“Ah long itu menuntut kami membayar hutang RM4,000 sekiranya tidak mahu diapa-apakan walaupun tahu mereka menyerang rumah yang salah.

“Malah mereka menuduh kami cuba melindungi lelaki yang tidak dikenali itu. Bukan itu sahaja, mereka turut mengugut akan melakukan perkara lebih teruk selepas ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pengadu membuat laporan pada 13 dan 30 Ogos lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya