PETALING JAYA: Sebanyak 919 aduan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).
“Perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada kaum keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah,” kata beliau dalam temu bual program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang di sini hari ini
Menurut beliau, turut banyak dilaporkan kepada SPRM membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu melibatkan sesuatu kerja yang dilaksanakan.
Jelas Azam, individu berkenaan dilaporkan kononnya melaksanakan sesuatu pekerjaan dan seterusnya membuat tuntutan palsu bagi kerja yang dilaksanakan seolah-olah telah dilaksanakan.
“Saban hari ia semakin meningkat dan perkara ini amat merugikan. Justeru, saya minta semua ketua jabatan untuk memantau pegawai mereka yang diberikan kuasa dalam memutuskan sesuatu keputusan dan dari segi tadbir urus,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azam menjelaskan, penjawat awam adalah kumpulan sasar pertama yang akan dipantau dan disiasat SPRM memandangkan mereka merupakan nadi pentadbiran kepada sesuatu negeri dan negara ini.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain,” katanya.- UTUSAN