75% kapal TLDM usia lebih 40 tahun - Utusan Malaysia

75% kapal TLDM usia lebih 40 tahun

AHLI keluarga menyambut kepulangan KD Lekir di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut hari ini selepas menyertai RIMPAC 2022 selama kira-kira tiga bulan di Hawaii. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan kapal perang dan kapal peronda baharu kerana 75 peratus daripada  aset sedia ada sudah ‘berusia’.

Kegagalan memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa segera melakukan ‘proses kitar semula’ atau program memanjangkan hayat kapal sedia ada.

 Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis berkata, semakan mendapati 75 peratus daripada 44 kapal milik pasukan tersebut ketika ini sudah berusia lebih 40 tahun dengan ada antaranya melebihi 50 tahun.

“Sebagai contoh, kapal peronda laju yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun, dalam erti kata kapal TLDM sudah lebih usia,” kata beliau ketika  menyambut kepulangan Kapal Diraja (KD) Lekir yang menyertai Eksesais Lingkaran Pasifik atau ‘Rim of The Pacific’ (RIMPAC) 2022 di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Menurut beliau, tempo operasi kapal yang panjang mengkehendaki TLDM sentiasa melakukan proses penyelenggaraan dengan segera berikutan keadaan kapal dimiliki ‘agak berumur’.

Kata Abu Bakar, sebagai contoh KD Lekir yang baru pulang dari RIMPAC perlu melalui proses penyelenggaraan singkat untuk persediaan misi operasi yang lain.

Memerlukan

Oleh itu, menurut beliau,  TLDM ketika ini  memerlukan kapal baharu dengan bilangan yang mencukupi kerana kuantiti sedia bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga berusia.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abu Bakar menjelaskan, selagi TLDM tidak menerima kapal-kapal perang baharu seperti kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal peronda misi pesisir (LMS) peringkat kedua, TLDM perlu terus  memastikan kesiagaan kapal-kapal perang sedia ada seperti KD Lekir berada di tahap tertinggi.

“Ingin saya tegaskan di sini, sekiranya TLDM diberi keupayaan yang diperlukan, kita yakin akan kemampuan kita untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, baik di waktu aman mahupun konflik,” tegas beliau.

Abu Bakar berkata, kejayaan KD Lekir mengharungi cabaran pelayaran serta melaksanakan setiap siri latihan sepanjang Eksesais RIMPAC 2022 tanpa gagal adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

Menurutnya, KD Lekir merupakan kapal perang yang berusia hampir 40 tahun tetapi masih gagah mengharungi lautan selama 62 hari dengan jarak menghampiri separuh ukuran lilitan dunia sepanjang penugasan eksesais tersebut.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya