49 peratus penyelidik wanita hadapi  cabaran teruskan kerjaya  -

49 peratus penyelidik wanita hadapi  cabaran teruskan kerjaya 

DR. ADHAM BABA merasmikan Program Women Empowerment Kolej Komuniti Bandar Tenggara di Dewan Kejora Bandar Tenggara, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebanyak 49 peratus penyelidik wanita yang terlibat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) didapati berdepan cabaran untuk meneruskan kerjaya masing-masing. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peratusan itu tinggi kerana mereka perlu memberikan komitmen terhadap keluarga sehingga ramai yang memilih untuk bekerja sebagai penyelidik kontrak supaya tidak terikat dan mempunyai fleksibiliti ataupun memilih untuk meletakkan jawatan ekoran kekangan itu.

“Jadi, kita telah pun cadangkan bagi atasi cabaran ini supaya pihak Akademi Sains Malaysia (ASM) adakan kajian kaedah untuk memperkasakan penyelidik wanita ini serta membantu mereka agar dapat kembali menjadi tenaga kerja negara sebagai penyelidik dan dapat menangani situasi ini, sekali gus dapat menyambung sumbangan kepada negara.

“Saya juga mohon kerajaan bantu melalui ‘Career  Comeback Programme’ di bawah TalentCorp supaya tenaga penyelidik ini boleh kembali semula menjadi penyelidik. 

“Kita juga telah sediakan kerangka pelan hala tuju pelbagai teknologi supaya mereka ini kembali semula menjadi penyelidik terutama penyelidik tahap experimental dan industri,” katanya selepas merasmikan Program Women Empowerment Kolej Komuniti Bandar Tenggara di Dewan Kejora Bandar Tenggara, dekat sini hari ini.

Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut berharap penganjuran Women in Tech (WIT) Global Movement di peringkat Asia Pacific pada Oktober ini dapat memenangi anugerah kerana kejayaan dalam penyelidikan.

“Cabaran kita supaya ‘women empowerment’ dapat dijalankan sebaik mungkin perlu berprinsipkan supaya dibina di peringkat akar umbi. Seperti program pada hari ini bertujuan untuk mencungkil bakat dan meneruskan minat mereka dengan program pendigitalan supaya mereka dapat pasarkan produk ke peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau menyambut baik usaha membangunkan program ‘women empowerment’ yang dilakukan pihak Kolej Komuniti Bandar Tenggara untuk memberi ilmu dalam bidang kemahiran kepada golongan wanita.

Dr. Adham turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan pembinaan Kolej Komuniti Bandar Tenggara yang baharu bernilai RM15 juta yang dijangka siap pada 2024. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya