PHUKET: Tidak sampai setahun ditubuhkan, Persatuan Finswimming Selangor (PFS) mengambil langkah berani menghantar tiga pelajar Maahad Tahfiz Diving Al Amin menyertai kejohanan renang fin di sini, baru-baru ini.
Kejohanan yang berlangsung dari 2 hingga 4 September lalu di Universiti Prince of Songkla itu menyaksikan tiga pelajar berusia belasan tahun berkenaan bersaing dengan atlet bertaraf dunia dari Vietnam, Kemboja, Peru, Thailand, Indonesia, Jordan, Kuwait, India, Singapura dan beberapa negara lain.
Selain tiga pelajar berkenaan, PFS turut menyenaraikan dua anggota bomba Malaysia dan seorang anggota polis dari 69 Komando (VAT 69) dalam kejohanan tersebut.
Walaupun tidak mendapat tempat antara tiga negara terbaik dalam kejohanan itu, PFS dan Maahad Tahfiz Diving Al Amin merancang menghantar beberapa lagi atlet termasuk pelajar tahfiz dalam kejohanan renang fin dunia di Hungary pada November ini.
Pengerusi PFS yang juga pengasas Maahad Tahfiz Diving Al Amin, Muhamad Abdullah berkata, penyertaan pada kejohanan dunia di Phuket adalah sebagai langkah pengenalan dalam sukan berkenaan untuk pelajar-pelajar tahfiz.
Menurutnya, langkah itu juga sebagai membuka jalan kepada penyertaan kejohanan frenang fin yang lebih besar dan berprestij pada masa akan datang.
“Ini merupakan langkah awal kerana sukan renang fin masih baharu bagi Malaysia.
“Perlu akui bahawa negara kita masih kekurangan atlet dalam sukan berkenaan. Oleh itu, PFS mengambil langkah tersendiri untuk menyertai kejohanan dunia di Phuket,” katanya di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengapa memilih atlet dari maahad tahfiz, Muhamad memberitahu, langkah itu antara lain bagi memberi pendedahan ilmu dan pengetahuan kepada para pelajar tahfiz.
“Kita tidak mahu masyarakat menganggap selama ini pelajar tahfiz hanya tahu mengaji al-Quran dan belajar agama, sebaliknya kita mahu masyarakat juga tahu bahawa pelajar tahfiz turut bergiat dalam aktiviti sihat,” ujarnya. – UTUSAN