14 ahli sindiket peras ugut  video bogel ditahan  - Utusan Malaysia

14 ahli sindiket peras ugut  video bogel ditahan 

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN dalam sidang akhbar berkenaan kejayaan polis menumpaskan beberapa sindiket jenayah di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai 14 individu termasuk seorang warga emas yang dipercayai menjadi ahli sindiket pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel melalui media sosial ditahan menerusi operasi khas pada 16 September hingga 19 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua individu berusia antara 23 hingga 60 tahun itu adalah warga tempatan dan ditahan di sekitar negeri ini, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

”Anggaran keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa sindiket ini adalah berjumlah RM306,101.

“Siasatan yang dijalankan mendapati suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ini adalah pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket tersebut.

“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek-suspek ini mempunyai pelbagai kesalahan jenayah serta dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau,  kesemua suspek itu akan menyalurkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun milik mereka sendiri dan kemudian memindahkannya ke akaun lain milik sindiket.

”Operasi mengesan ahli lain sindiket ini dijalankan secara berterusan dan kita percaya ada suspek lain yang menjalankan kerja-kerja pemerasan terhadap mangsa,” katanya.

MELAYARI

Tambahnya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan individu yang melayari laman sosial yang menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti Wechat, Facebook, WhatsApps, Michat dan Line sebagai mangsa.

“Mereka akan diajak untuk membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa untuk melakukan adegan lucah yang dirakam tanpa disedari mangsa.

”Kerugian yang paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang melibatkan jumlah RM69,000, dan ada di antara mangsa bekerja sebagai penjawat awam, pekerja swasta, penganggur dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu sejumlah 76 laporan  diterima di seluruh Pulau Pinang melibatkan sindiket seperti itu.

“Dengan penahanan kesemua individu ini, polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes di sekitar Pulau Pinang dan 27 kes yang masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, lapan keping kad ATM serta satu buku akaun dan suspek didapati bekerja pekerja swasta, suri rumah dan pelajar serta penganggur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya