MARAN: Kerahan tenaga membabitkan 12,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan dilakukan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar yang diramalkan hujung November ini berikutan fenomena La Nina dan Monsun Timur Laut yang melanda.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata, kesiapsiagaan JBPM akan terus dipertingkat ke tahap maksimum berikutan ramalan fenomena La Nina bakal membawa lebih banyak hujan.
Menurut beliau, pakar meteorologi memaklumkan fenomena itu sedang mempengaruhi curahan dan intensiti hujan yang dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun.
Katanya, perubahan cuaca mendadak turut berlaku berikutan hujan ribut di kebanyakan tempat yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan tragedi kepala air.
“Kejadian kepala air di Kedah dan Terengganu membuktikan hujan lebat boleh berlaku pada bila- bila masa walaupun di luar musim tengkujuh,” katanya selepas merasmikan pesta mengemping padi Paya Kampung Bukit Chempedak di sini hari ini.
Ismail berkata, JBPM sentiasa bersiap siaga menjalankan operasi dalam semua situasi termasuk ketika Monsun Timur Laut dan juga La Nina.
“JBPM sudah meningkatkan keupayaan logistik dan tenaga kerjanya untuk bertindak pantas membantu orang ramai jika berlaku bencana,” kata beliau. – UTUSAN