PUTRAJAYA: Para pemain industri hiburan kreatif di negara ini turut menyatakan sokongan penuh kepada usaha pewujudan Jabatan Pematuhan Syariah dalam stesen penyiaran tempatan.
Perkara itu didedahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebagai mengulas pertemuan dengan penggiat seni di Bangi, Selangor semalam.
“Alhamdulillah, ramai menyatakan bahawa mereka amat menunggu-nunggu sesi sebegini dan mereka juga menyokong idea ditubuhkan jabatan khas sedemikian,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyertai Hijrah Merdeka bersama-sama hampir 3,000 jemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini bersempena sambutan Ambang Merdeka 2022 lewat malam tadi.
Beliau turut menyampaikan tausiyah atau nasihat keagamaan sebagai perasmian kemuncak acara tersebut yang juga diisi dengan sesi forum dan solat sunat hajat demi kesejahteraan Malaysia.
Semalam, seramai 60 penggiat seni tempatan termasuk operator penyiaran bertemu dengan beliau buat julung kalinya bagi membincangkan dan bertukar pandangan mengenai industri tersebut.
Pertemuan padat selama tiga jam itu turut dihadiri para pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sendiri.
Dalam sesi tersebut, beliau menyarankan supaya semua stesen penyiaran dan syarikat produksi di negara ini mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah bagi menyaring isi kandungan program.
“Saya berpuas hati kerana mereka juga memberi maklum balas positif dan ini penting sebagai bahagian pemantauan kendiri kandungan agar tidak terkeluar daripada garis sempadan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, inisiatif itu bukan untuk menyekat kreativiti karya seni tetapi memastikan program dihasilkan masih lagi dalam skop agama dan adat budaya ketimuran.
Idris memberi contoh kejayaan filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mampu meraih kutipan jualan tertinggi dalam sejarah negara meskipun tiada pun babak adegan tidak senonoh.
Bahkan Jakim sendiri ujar beliau, telah lama menerbitkan tiga judul buku garis panduan berkaitan produksi penyiaran yang boleh dijadikan rujukan bagi semua pemain industri kreatif tanah air.
Mereka juga boleh mendapatkan nasihat agensi tersebut untuk membangunkan karya seni yang ada elemen pendidikan masyarakat dan ummah sebagai bentuk tanggungjawab sosial korporat.
“Mungkin siapa tahu ia bakal jadi asbab kepada golongan bukan Muslim untuk lebih faham ajaran Islam sebenar berbanding imej negatif yang dimomokkan media Barat selama ini,” katanya. –UTUSAN