PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat memperluaskan Wakaf Pertanian Bersepadu (Watani) ke seluruh negara bagi memanfaatkan tanah wakaf terbiar untuk diusahakan secara komuniti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, langkah tersebut dijangka melonjakkan instrumen pemerkasaan sosioekonomi ummah.
“Insya-Allah kita akan berbincang dengan semua pihak majlis agama Islam di negeri-negeri untuk cuba mengambil contoh pelaksanaan projek perintis di sini,” kata beliau selepas merasmikan projek Laman Watani yang dilakukan oleh anak syarikat milik penuh Yayasan Waqaf Malaysia, YWM MAIN Holdings Sdn. Bhd. di Presint 20, di sini hari ini.
Ladang berkeluasan empat hektar dimiliki Perbadanan Putrajaya itu memfokuskan tanaman jenis kontan, jangka sederhana dan panjang yang berpotensi memajukan komuniti.
Antara yang ditanam ialah cili fertigasi, jagung manis, nanas, pisang tanduk dan tembikai susu dengan sasaran nilai jualan sehingga RM240,000 dalam tempoh tiga bulan sebelum dituai.
Mengulas lanjut, Idris berkata, bidang pertanian wakaf itu usaha penting di peringkat nasional serta dijadikan Indeks Petunjuk Utama untuk Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Model Watani ini dilihat mampu jadi pemangkin bagi mengurangkan kebergantungan import bekalan makanan dari luar dan menjamin kestabilan sekuriti makanan negara,” kata beliau.- UTUSAN