SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan seluruh rakyat negeri ini supaya berwaspada terhadap unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang kita nikmati sekarang.
Baginda turut mengingatkan supaya rakyat tidak mencampuradukkan isu-isu politik, perkauman dan agama yang boleh mencetus pertelagahan dan memecah belahkan rakyat.
“(Apa yang lebih penting) Baginda menyeru kita semua untuk berganding bahu dalam memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.
“Baginda turut mahu sekalian rakyat kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan,” titahnya
Sultan Sharafuddin juga berharap rakyat tidak ‘buta sejarah’ dengan melupakan jerih perih perjuangan serta pengorbanan orang-orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.
Titah baginda, dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan.
“(Oleh itu) Baginda menyeru sekalian rakyat agar terus menghayati erti sebenar kemerdekaan di samping menyuburkan lagi rasa cinta kepada tanah air dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa dan bangsa,” titahnya lagi. –UTUSAN ONLINE