JOHOR BAHRU: Warga emas yang diisytiharkan ‘mati’ sejak awal Januari lalu kini bagaikan ‘hidup semula’ apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaktifkan kembali MyKadnya.
Low Choo Choon, 71, menerima khabar gembira itu menerusi panggilan telefon daripada JPN pada tengah hari, semalam.
“Saya ucapkan terima kasih kepada media dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang kerana membantu saya membawa perkara ini ke pengetahuan umum.
“Seorang pegawai JPN menghubungi saya dan memaklumkan kad pengenalan saya sudah aktif dan tidak berstatus sebagai orang ‘mati’ lagi.
“Saya sangat gembira, banyak perkara yang perlu saya uruskan, termasuk membuat laporan polis tentang dokumen tanah yang telah hilang sebelum ini,” katanya di sini.
Kelmarin, media melaporkan Choo Choon berdepan pelbagai kesukaran setelah namanya diisytiharkan sudah meninggal dunia dalam rekod pendaftaran negara.
Pelbagai usaha telah dibuat termasuk membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada JPN untuk penyelesaian sejak Jun lalu, namun tiada penyelesaian dicapai.
Sementara itu, Bor Yang turut mengucapkan berterima kasih kepada JPN kerana bertindak segera menyelesaikan proses pertukaran status pemandu van berkenaan.
“Terima kasih kepada JPN yang mempercepatkan proses pengaktifan semula kad pengenalan Choo Choon dan juga rakan-rakan media atas liputan berita yang dibuat,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE