Wanita ligat jaja petai demi menyara cucu, anak - Utusan Malaysia

Wanita ligat jaja petai demi menyara cucu, anak

ZAHARAH Che Wil menjaja petai dengan menunggang motosikal yang uzur di pekan Rantau Panjang, Kelantan hari ini-UTUSAN/ ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang wanita ‘ligat’ mengerah kudratnya menunggang motosikal sejauh 30 kilometer setiap hari bagi menjual petai demi menyara persekolahan cucunya yang berusia 14 tahun.

Bukan itu sahaja, Zaharah Che Will, 61, perlu bekerja keras untuk menampung kehidupan anak sulungnya, Norul Faizah Alluwi, 39, yang kemurungan selepas terlibat dalam kejadian langgar lari empat tahun lalu selain bercerai dengan suami susulan tragedi itu.

Zaharah berkata, walaupun sekadar meraih keuntungan antara RM15 hingga RM30 sehari hasil jualan petai, dia bekerja keras bagi memastikan mereka tidak kelaparan.

Menurutnya, setiap hari dia akan turun dari rumah di Kampung Bakong, Meranti seawal jam 6.30 pagi untuk menjaja selepas selesai menghantar cucunya, Raja Natasha Raja Ahmad Zulqahar, 16, yang bersekolah di Rantau Panjang.

“Selesai hantar cucu ke sekolah, saya ke pasar Tasek Raja di sini untuk mendapat bekalan petai dengan peraih, jika tiada, saya akan menjaja buah-buahan bermusim seperti buah mangga, longan atau limau.

“Biasanya, saya mengambil petai secara hutang dahulu, apabila habis jual, baru saya bayar kepada peraih tersebut. Kalau bernasib baik, pukul 3 petang barangan jualan sudah habis, boleh pulang awal ke rumah bersama cucu,” katanya ketika ditemui semalam.

Zaharah memberitahu, sekiranya jualan kurang laku, dia akan menjaja sehingga lewat petang.

Katanya, kebiasaan dia menjaja sekitar Kampung Tok Uban, Gelang Mas dan Rantau Panjang yang menjadi rutinnya sejak 30 tahun lalu selepas bercerai dengan suami bagi membesarkan anak-anak ketika itu.

“Dulu saya menjaja dengan berjalan kaki dan kemudiannya dengan basikal di sekitar kampung sendiri.

“Alhamdulillah, hasil jualan petai, saya boleh membeli motosikal secara ansuran tiga tahun lalu,” ujarnya yang merupakan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Mengenai anaknya, Zaharah berkata, Norul Faizah masih trauma dengan kemalangan yang hampir meragut nyawanya sendiri.

“Norul Faizah nampak sihat tetapi emosinya sangat terganggu apabila sering menangis, mengamuk dan mahu keluar rumah tanpa arah tujuan.

“Norul Faizah mempunyai dua anak iaitu Raja Natasha dan seorang anak lelaki berusia 10 tahun tetapi dijaga bekas suaminya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya