PADANG BESAR: Jabatan Tanah dan Galian (JTG) negeri merampas sembilan lot tanah seluas 26,195,02 meter persegi dengan nilai keseluruhan tunggakan cukai RM545,336 di sekitar negeri ini.
Isu tunggakan cukai tanah di negeri ini serius apabila jumlah semasa bayaran yang belum dilunaskan adalah sebanyak RM16.9 juta melibatkan 34,178 hak milik tanah.
Pengarah Tanah dan Galian negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, semua lot tanah itu dikenakan Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan (Notis 8A) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Menurut beliau, JTG Perlis memandang serius keenganan pembayar yang tidak menjelaskan tunggakan semasa cukai tanah seperti yang ditetapkan.
“Pada tahun ini, JTG mengeluarkan 3,205 notis kepada pemilik tanah di seluruh negeri ini yang gagal membuat pembayaran tunggakan cukai berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tindakan penguatkuasaan di dua lot tanah sekitar kawasan Chuping di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, terdapat pemilik lot tanah yang dikenakan tindakan selepas dikenal pasti tidak melunaskan tunggakan sejak 10 tahun lalu.
Katanya, lot tanah yang dikenalkan tindakan itu juga terdiri daripada pemilikan individu, syarikat swasta dan agensi kerajaan.
“Kita menggunakan mekanisme dengan memberi peringatan kepada pemilik yang mempunyai tunggakan cukai terlebih dahulu dan mengeluarkan notis selama 14 hari untuk mengambil tindakan selanjutnya sebelum rampasan tanah dilakukan oleh JTG,” katanya.
Tambah beliau, JTG Perlis mengambil pendekatan untuk berunding terlebih dahulu bagi membolehkan pihak yang mempunyai tunggakan membuat pembayaran mengikut kemampuan mereka.
“Kita faham negara baru beralih ke fasa endemik dan kita benarkan bayaran tunggakan secara ansuran mengikut kemampuan melalui proses rundingan terlebih dahulu,” katanya.- UTUSAN