KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, lima tahun lalu.
Writ saman itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai lalu melalui Tetuan Haidir & Co. dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir, 97, selaku plaintif mendakwa Presiden UMNO itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan `kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, rakaman video mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 30 Julai 2017 kemudian diterbitkan semula dalam akaun Youtube Astro AWANI dan telah mencatat 148,199 tontonan.
Pernyataan tuntutan tersebut antara lain menyatakan, Ahmad Zahid (defendan) seperti dalam rakaman video berdurasi hampir tiga minit itu turut memfitnah beliau dengan menyentuh perjuangan politiknya ketika dalam UMNO.
Menurut Dr. Mahathir, rakaman video itu turut disiarkan melalui platform lain termasuk portal-portal berita iaitu Free Malaysia Today (FMT), Malay Mail, Malaysiakini dan Malaysia Today.
Plaintif menyatakan, defendan berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah sehingga mendedahkan beliau kepada kebencian masyarakat dan menyebabkan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik berpengaruh, dipandang serong.
Plaintif turut memplidkan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu telah merosakkan nama baik, maruah, reputasi dan integriti beliau selain bertujuan melemahkan pengaruh politiknya secara berterusan.
Menurut Dr. Mahathir, kenyataan fitnah itu juga turut membawa maksud plaintif menggunakan orang Melayu semasa berjawatan Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya serta memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Plaintif juga berasa malu dan terhina dengan keturunan nenek moyangnya yang mempunyai darah India.
Plaintif memplidkan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu secara tersiratnya membawa maksud bahawa kredibiliti beliau selaku pemimpin negara dan pemimpin parti yang mengutamakan orang Melayu, diragui.
Pernyataan tuntutan itu turut menyertakan alasan munasabah berhubung kelewatan plaintif mengambil tindakan segera kerana beliau terlebih dahulu telah bertindak mencabar kenyataan defendan dalam beberapa peristiwa sebelum menyamannya.
Menurut Dr. Mahathir, antara langkah-langkah itu termasuk mengeluarkan kenyataan media seperti yang disiarkan dalam video di Akaun YouTube KiniTV pada 31 Julai 2017.
Defendan-defendan tidak mengambil sebarang tindakan atau langkah munasabah bagi mengesahkan kenyataan tersebut atau menghalang penerbitan semula walaupun menyedari kenyataan itu mendapat perhatian pembaca.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang akan ditaksir oleh mahkamah.
Plaintif menuntut ganti rugi am kerana kenyataan fitnah itu memalukan beliau dan menjatuhkan reputasinya selaku negarawan dan pemimpin politik yang disegani.
Plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya atau sesiapa sahaja daripada berkomunikasi, mengeluarkan komen dan mengulangi kenyataan fitnah terhadapnya.
Plaintif juga menuntut satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkannya.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lalu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.
Dakwa Presiden UMNO itu, nama `Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir memberitahu wakil media, Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris pada prosiding secara e-Review menetapkan 13 September ini untuk pengurusan kes.
“Plaintif juga perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan sebelum atau pada 8 September ini,” kata peguam itu. –UTUSAN ONLINE