BALING: Semua pihak tidak perlu mencari kesalahan berkaitan tragedi banjir dan kepala air yang melanda Kampung Iboi, di sini pada 4 Julai lalu.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya juga tidak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak dan tidak mencari sebarang masalah berkaitan kejadian tersebut.
“Tragedi banjir kepala air ini menyebabkan sebanyak 1,012 buah rumah terkesan, 17 daripadanya hilang terus dari tapak rumahnya dan lebih 30 buah rumah tidak selamat diduduki.
“Berkaitan kolam takungan air di Gunung Inas, pihak berkaitan sedang cari kaedah sesuai untuk mengalirkan airnya keluar dan seterusnya menutup tiga buah kolam tadahan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dana Sumbangan Mangsa Banjir Baling dan Bubur Asyura Pekida Malaysia di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang, hari ini.
Menurut beliau, sehingga ke hari ini belum ada lagi kolam-kolam tersebut yang pecah, namun langkah berjaga-jaga dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.
“Berlakunya banjir ini adalah disebabkan tandak atau tandop yang dibina di anak-anak sungai untuk siraman pokok Musang King yang pecah,” katanya.- UTUSAN