GEORGE TOWN: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lalu ekoran kawalan ketat yang dijalankan bagi mengelak penularan wabak itu.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, beberapa prosedur operasi standard yang ketat dijalankan bagi sebarang kemasukan banduan baharu ke penjara berkenaan bagi memastikan penjara terbabit bebas wabak berkenaan.
”Sejak Jun tahun lalu, tiada kes positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan penghuni Penjara Reman Pulau Pinang.
”Kita menyaring dengan ketat kemasukan banduan baharu yang mana mereka akan dikuarantin terlebih dahulu di Penjara Satelit Bukit Mertajam dan kemudian akan dikuarantin sekali lagi di Penjara Reman Pulau Pinang sebelum ditempatkan di dalam sel,” katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah di Penjara Reman Pulau Pinang, di sini hari ini.
Seramai 340 penghuni penjara tersebut mengikuti program ceramah khas dari penceramah bebas, Datuk Dr. Danial Zainal Abidin sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Penjara Reman Pulau Pinang.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira 98 peratus penghuni penjara berkenaan divaksin dengan vaksin jenis Cansino dan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan penghuni bebas daripada Covid-19.
”Hanya sekitar dua peratus sahaja banduan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 kerana mereka adalah penghuni baharu di penjara ini.
”Pihak kami juga akan menghantar laporan kepada KKM mengenai situasi terkini keadaan Covid-19 di penjara dan pihak KKM turut memantau keadaan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, setakat ini, terdapat 1,058 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dan situasi di penjara terbabit masih dalam keadaan terkawal.
”Kapasiti penjara ini adalah sekitar 700 hingga 1,200 orang dan setakat ini masih boleh dihuni dengan selesa,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program ceramah sempena Maal Hijrah yang dijalankan oleh pihak pengurusan Penjara Reman Pulau Pinang, seorang banduan penjara berkenaan, Jamal, 23, berkata, ceramah berkenaan dapat membantunya serta banduan lain untuk lebih memahami erti hijrah.
”Ceramah ini juga memberi semangat baharu kepada kami untuk menjadi lebih baik selepas ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE