Tiada kes PATI tebang kayu bakau di Kerian - Utusan Malaysia

Tiada kes PATI tebang kayu bakau di Kerian

MOHD. Sharenliza Ghazali (kanan) menyerahkan pendayung kepada Mohd. Najhan Azman Hamid sebagai simbolik serah terima tugas Komander Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Tiada aktiviti menebang kayu bakau secara haram dijalankan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia di perairan Kerian seperti yang dilaporkan, kata bekas  Komander Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau, Mohd. Sharenliza Ghazali.

Beliau berkata, sepanjang tiga tahun menerajui APMM  Zon Maritim Kuala Kurau, tiada sebarang aduan diterima mengenai dakwaan kegiatan itu, apatah lagi anggota Maritim Malaysia bertugas 24 jam tujuh hari seminggu melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan Perak Utara termasuk rondaan  pada waktu malam.

“Selepas kegiatan itu dilaporkan dalam media, kami membuat rondaan bagi mengesan aktiviti yang dikatakan itu namun kami tidak menjumpai sebarang jejak penebangan kayu bakau oleh PATI.

“Kegiatan ini pernah berlaku sebelum saya berkhidmat di sini. Saya pernah diberikan  taklimat tentang perkara itu oleh Pengarah Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau yang kelima dahulu dan kejadian penebangan kayu bakau itu berlaku di kawasan Teluk Rubiah di perairan Kuala Gula pada masa itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis serah terima tugas kepada Pengarah Zon Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau yang baharu, Mohd. Najhan Azman Hamid  di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai PATI  di sini dikesan menjalankan aktiviti menebang kayu bakau untuk dibuat  tiang ampai, iaitu kayu yang dipacak di laut sebagai tempat mengikat bot dan untuk pemancing memancing.

Perkara itu didedahkan oleh seorang nelayan tempatan yang enggan dikenali dengan mendakwa  PATI tersebut mempunyai majikan dalam sektor hasil laut dan ternakan ikan dan menjalankan kegiatan menebang pokok atas arah majikan tempat mereka bekerja.

Kegiatan itu dilakukan di beberapa lokasi berhampiran perairan Kerian. Kegiatan itu dilakukan oleh PATI pada sebelah malam bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa di beberapa lokasi di kawasan Kuala Gula dekat sini.

Sementara itu, Mohd. Najhan berkata, Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau akan mempertingkat penguatkuasaan di laut bagi memastikan aktiviti bertentangan undang-undang dapat dicegah di perairan Kerian.

“Maritim Malaysia akan memastikan  zon yang kami jaga ini tidak dicerobohi oleh PATI untuk cuba masuk ke perairan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya