SEREMBAN: Tiga daripada enam penghuni Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin di sini yang terlibat dalam kejadian tanah mendap dan tebing runtuh akan dipindahkan berikutan kediaman mereka tidak lagi selamat untuk diduduki ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, struktur tambahan tiga rumah berkenaan runtuh yang turut menjejaskan bahagian-bahagian lain.
“Perbincangan diadakan dengan beberapa agensi termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Seremban, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mencari jalan penyelesaian.
“Bagi tindakan segera, tiga daripada enam penghuni rumah yang terjejas akan dipindahkan segera kerana khuatir hujan dan cuaca yang tidak menentu sekarang ini. Buat sementara ini, kami akan pastikan penduduk yang terlibat berada di tempat selamat sebelum tindakan lain diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kawasan yang terjejas di Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin, Nilai dekat sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak enam kediaman di kawasan itu rosak susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam.
Penduduk memberitahu, kejadian tersebut pertama kali berlaku dan berkemungkinan akibat hujan lebat sejak dua hari lalu.
Sementara itu, Arul Kumar menafikan dakwaan penduduk berkaitan projek perumahan baharu yang dipercayai menyebabkan tebing tanah tersebut runtuh.
“Rumah Rakyat Batang Benar ini terletak di atas bukit dan sudah didiami lebih 40 tahun. Keretakan yang berlaku berkemungkinan akibat tanah yang tidak begitu kuat untuk menampung struktur tambahan yang dibina penduduk di belakang rumah mereka.
“Apabila hujan lebat berterusan, ia menyebabkan tanah mendap sehingga struktur tambahan tersebut turut runtuh,” katanya.
Jelas Arul, pemindahan penduduk tersebut bagi membolehkan pihak bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja merobohkan keseluruhan struktur tambahan tersebut selain bagi pembinaan dinding untuk membaiki tebing yang runtuh.
“Penduduk terlibat juga memberikan kerjasama agar struktur tambahan dibina dapat dirobohkan. Hampir 80 peratus penduduk membina struktur tambahan di belakang rumah masing-masing.
“Saya difahamkan, pada tahun 2018 hingga 2019, pihak berkuasa tempatan (PBT) ada mengeluarkan peruntukan bagi membaiki dinding rumah penduduk yang retak namun ada pemilik rumah yang tidak bersetuju menyebabkan peruntukan itu ditarik balik,” katanya. –UTUSAN