PASIR MAS: Bekas tapak Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pasir Mas yang sebelum ini ‘bising’ dengan aktiviti kawad, nyanyian lagu Negaraku dan sebagainya kini bertukar ‘sepi’ selepas kawasan itu dijadikan penjara satelit bagi menempatkan 400 hingga 500 banduan.
Tinjauan mendapati, walaupun lokasinya agak tersorok di atas Bukit Tuku, namun setiap hari pergerakan keluar masuk trak membawa banduan boleh dilihat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang penduduk Kampung Bukit Tuku, Shakila Jaffar, 34, mengakui peringkat awalnya dia kurang senang dengan penukaran status kem PLKN kepada penjara kerana bimbang dengan kejadian banduan lolos.
Namun, menurut beliau, selepas setahun, perasaan takut itu hilang apabila tiada berlaku insiden yang tidak diingini selain kawalan ketat di kawasan berkenaan.
“Jarak kawasan itu dengan rumah saya hanyalah 500 meter sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang pekerja di penjara tersebut yang mahu dikenali sebagai Ahmad memberitahu, tapak PLKN itu tidak pernah terbiar walaupun latihan untuk pelatihnya sudah dimansuhkan pada tahun 2018.
“Bangunannya masih elok terjaga rapi, ketika pandemik Covid 19, kem ini dijadikan sebagai zon tapisan pesalah bagi menjalani ujian calitan Covid 19 sebelum mereka dibawa masuk ke penjara utama.
“Kawasan yang menempatkan banduan dikawal ketat dan kami tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut,” ujarnya.
Katanya, sekarang seluruh kawasan tersebut mempunyai pagar berduri dengan dikawal oleh warden penjara dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). –UTUSAN ONLINE==