KUALA NERUS: Seorang usahawan jahitan tidak menang tangan melayan permintaan pelanggannya yang membeli tanjak Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 tahun ini.
Norwilia Mohd. Zawawi, 37, berkata, sejak mengiklankan tanjak itu di Facebook, WhatsApp, Instagram dan Shopee minggu lepas, sebanyak 1,500 unit terjual kepada pelanggan dari seluruh negara setakat ini.
“Oleh kerana sambutan yang diterima luar biasa, tumpuan saya dan enam pekerja kini adalah menghasilkan kira-kira 200 tanjak sehari.
“Setiap tanjak ini saya jual pada harga RM20 dan RM25 bergantung kepada saiz dan tambahan rekaan bintang di hujung tanjak tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Beliau yang mempunyai kedai menjahit di Kampung Bukit Tunggal, di sini berkata, pada mulanya tanjak itu hanya dijahit untuk digayakan anaknya sempena satu aktiviti kemerdekaan di sekolah.
“Tak sangka pula ramai ibu bapa lain yang ternampak penampilan anak saya menyatakan hasrat mahu membelinya.
“Mula-mula saya buat tak banyak, sekadar memenuhi permintaan kawan-kawan, kebetulan pula lokasi kedai jahit saya berdepan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal menjadikan tanjak yang dijual laris seperti goreng pisang panas.
“Setiap kali saya pamerkan tanjak di depan kedai, ia akan habis dijual dalam masa sekejap sahaja kerana kebetulan ramai yang semakin meminati pemakaian tanjak, mungkin disebabkan fenomena Mat Kilau juga masih terasa di Malaysia, menghangatkan lagi sambutan untuk tanjak yang saya hasilkan ini,” katanya di sini, hari ini.
Ibu kepada lima anak itu berkata jualan memberangsangkan tanjak itu juga adalah hasil promosi mulut ke mulut pelanggan serta 30 ejennya di seluruh negara.
“Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya menghasilkan tanjak untuk jualan kerana perniagaan yang saya usahakan sejak lima tahun ini adalah lebih fokus kepada bantal dan tilam kekabu.
“Saya berazam untuk terus menjadikan tanjak sebagai jualan utama di kedai ini dan akan disesuaikan mengikut musim seperti hari perayaan agar ia tidak luput ditelan zaman,” katanya. –UTUSAN