KUANTAN: MENYAHUT seruan kerajaan dalam menangani inflasi, seorang usahawan pelancongan, berjaya membuktikan walaupun pertanian bukan bidang dimiliknya, namun usaha menanam pokok nanas kini mula membuahkan hasil.
Lebih menarik, apabila beliau menjadikan kawasan atas bumbung rumahnya sebagai kawasan bercucuk tanam.
Hasilnya kini sebanyak 114 pokok nanas jenis MD2 sedang membesar dan hanya menunggu untuk dipetik pada Disember nanti setelah ia ditanam sejak Oktober tahun lalu menggunakan polibeg.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Springvale Residences P7 Kota SAS di sini, Izudin Muhamad Amin, langkah menanam pokok nanas di atas bumbung antara lain bagi menyahut seruan kerajaan melalui Program Pertanian Bandar.
Malah katanya, ia sebagai langkah menangani pelbagai perbelanjaan harian yang kian bertambah berikutan kenaikan harga barangan.
“Mulanya saya terfikir apa lagi perlu dilakukan bagi menambah pendapatan kerana inflasi mula terasa. Atas nasihat rakan-rakan, mereka syorkan saya bercucuk tanam di atas bumbung.
“Memang saya langsung tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pertaniaan. Namun, saya belajar daripada rakan-rakan dan juga melalui internet.
“Akhirnya saya pilih nanas sebagai tanaman untuk menambah pendapatan,” katanya yang merupakan seorang usahawan pelancongan.
Menurutnya, sebagai usahawan pelancongan, beliau tidak boleh mengharapkan hanya satu bidang memandangkan orang ramai kini kian kurang melancong sejak negara dan dunia dilanda Covid-19 selain inflasi.
Izudin menjelaskan, dia memilih nanas kerana tanaman tersebut mudah diselenggara dan dijaga serta tidak perlu disiram sepanjang masa.
Katanya, tanaman nanas juga memerlukan pancaran sinar matahari, namun jika terlalu panas hingga tiga atau empat hari, barulah langkah menyiram dilakukan.
Jelasnya, yang penting tanaman nanas memerlukan penjagaan dari segi baja dan campuran tanah.
“Selain menambah hasil, langkah menanam nanas di atas bumbung rumah juga sebagai riadah dan hilangkan stres,” katanya.
Menjawab pertanyaan, Izudin berkata, nanas MD2 juga mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan penduduk selain rasanya yang manis. – UTUSAN