KUALA TERENGGANU: Destinasi pelancongan terkemuka Terengganu iaitu Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man di sini bakal berubah wajah setelah projek baik pulih beberapa replika yang rosak dan lusuh di Taman Monumen siap menjelang tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata, bagi tujuan itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kerja baik pulih yang akan bermula akhir tahun ini.
“Buat permulaan, tumpuan diberi untuk membaik pulih monumen kincir air yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Istana Alhambra (Sepanyol) dan Masjid Sulaiman (Turki).
“Peruntukan RM5 juta itu adalah dari Kementerian Kewangan yang bertujuan melonjakkan semula daya tarikan pelancongan di Taman Tamadun Islam khususnya di Taman Monumen,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Taman Monumen itu yang dibina pada tahun 2006 menempatkan 23 buah monumen Islam dari pelbagai negara seperti Kota Alhambra di Sepanyol, Masjid Qairawan di Tunisia, Masjid Sultan Suleyman di Turki, Taj Mahal di India, Masjid Xi’an di China, Kubah As Sakhrah di Palestin, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Masjid Kudus Minar di Indonesia, Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddin di Brunei dan Masjid Sultan Singapura.
Seiring masa, beberapa monumen mula mengalami beberapa kerosakan dan kelihatan lusuh disebabkan faktor cuaca.
Ketika ini, purata kedatangan pelancong ke Taman Tamadun Islam ialah antara 50,000 hingga 70,000 sebulan manakala tahun lalu, seramai 276,000 pengunjung direkodkan datang meskipun negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
Mengulas lanjut, Wan Adnan berkata, selain tujuan pelancongan, Taman Monumen turut menjadi rujukan pelajar dalam bidang seni bina, seni halus, kejuruteraan dan sejarah Islam dari seluruh dunia.
“Kita sangat mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan mana-mana universiti untuk sama-sama terlibat ketika projek baik pulih ini berjalan agar ia mampu memberi input lebih besar terhadap bidang pendidikan negara.
“Tambahan pula, ada beberapa monumen di sini sudah musnah di negara asal kerana musnah akibat peperangan contohnya Kubu Kota Aleppo di Syria, Menara Malwiya dan Masjid Samarra di Iraq,” katanya.
Kesemua 23 replika masjid termasuk monumen yang terkenal itu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal. –UTUSAN ONLINE