SEREMBAN: Sepasang suami isteri anggota polis tidak menyangka akan menyambut anak sulung mereka pada Hari Kebangsaan yang ke-65 hari ini.
Konstabel Khausar Khairudin, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis berkata, dia serta suaminya Lans Koperal Dzulfuadifathi Fauzi, 29, yang bertugas di Balai Polis Mata Air, Perlis menjangkakan anak perempuan mereka akan dilahirkan pada 23 September ini.
Dia menambah, mereka telah pulang ke kampung di Sikamat di sini pada hari Jumaat lalu dan sepatutnya kembali pulang bekerja hari ini.
“Bagaimanapun, seawal pukul 11 malam tadi saya mula berasa sakit serta meminta suami untuk dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, iaitu sekitar pukul 3 pagi tadi.
“Sampai sahaja di hospital, saya terus dibawa masuk ke bilik bersalin dan pukul 5.30 5.58 pagi, anak sulung saya yang diberi nama Dhia Medina dengan berat 3.05 kilogram (kg) selamat dilahirkan.
“Saya memang terkejut kerana anak lahir awal dari tarikh dijangkakan, namun berasa sangat lega dan gembira. Adik kelima saya, Ammar Qawiemudin, 19, turut gembira kerana dia juga lahir pada 31 Ogos,” katanya.
Khausar dan suaminya ditemui media pada majlis meraikan bayi merdeka dan lawatan Ahli Lembaga Pelawat HTJ di Bangunan Wad Wanita dan Kanak-kanak HTJ, di sini, hari ini.
Bagi seorang lagi ibu yang melahirkan bayi merdeka, Tengku Fatin Nur Sazwana Tengku Razali, 26, berkata, dia sudah dimasukkan ke wad sejak 11 Ogos lalu kerana bayinya yang berada dalam kandungan bersaiz kecil daripada biasa serta memerlukan pemantauan rapi.
“Saya sangat bersyukur kerana bayi perempuan saya dapat dilahirkan dengan selamat.
“Jangkaan awal, bayi saya ini akan dilahirkan pada 18 September depan, tidak sangka saya akan melahirkannya pada hari ini yang cukup istimewa buat semua rakyat Malaysia,” katanya. –UTUSAN