KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa hari ini mendedahkan bahawa pernyataan saksi beliau sebenarnya disediakan oleh dua kakitangan tanpa kehadirannya.
Tambahnya, beliau hanya dapat melihat dokumen tersebut pada saat-saat akhir.
Perkara itu terbongkar ketika saksi pendakwaan ke-26 itu disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Muhammad Shafee: Awak ada baca di muka surat terakhir penyataan saksi bahawa segala penyataan awak adalah benar berdasarkan pengetahuan dan kepercayaan awak?
Siti Zauyah: Ya.
Muhammad Shafee: Tetapi hari ini awak katakan bahawa kandungan penyataan saksi ini tidak berada dalam pengetahuan awak?
Siti Zauyah: Ya.
Muhammad Shafee: Siapa yang buat penyataan ini?
Siti Zauyah: Dua kakitangan saya, tetapi mereka hanya buat pernyataan berkaitan pinjaman. Bahagian berkaitan Menteri Kewangan Diperbadankan, saya tidak tahu.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee memohon penangguhan selama beberapa minit bagi berbincang dengan pihak pendakwaan sama ada saksi berkenaan ingin dikekalkan atau sebaliknya.
“Saya tidak faham kenapa saksi itu dipanggil kerana ia tidak berguna kepada kami mahupun pendakwaan. Perkara ini tidak membawa kami ke mana-mana. Ia adalah pertama kali saya bertemu dengan saksi macam ini,” katanya.
Pada 15 Jun lalu, Siti Zauyah dalam keterangannya menyatakan tindakan Najib menandatangani surat sokongan kerajaan (LOS) terhadap pemberian pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi satu projek usahasama menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang AS$3 bilion.
Ini kerana salah satu terma dalam surat sokongan itu ialah Kerajaan akan dipertanggungjawabkan atas pinjaman yang dibuat sekiranya syarikat induk gagal membayar balik pinjaman. –UTUSAN