Silibus pondok tinggalan ulama silam - Utusan Malaysia

Silibus pondok tinggalan ulama silam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Silibus pembelajaran berteraskan sekolah pondok melengkapi seluruh aspek kehidupan termasuk duniawi, ukhrawi, rohani dan jasmani serta bukan bersifat tangkap muat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Kedah, Shuzaimee Aidy Samsudin berkata, tidak wajar sekiranya meletakkan keseluruhan pusat pengajian tersebut mempunyai fahaman ekstremis atau pusat melahirkan pengganas.

“Tidak dinafikan berkemungkinan ada yang terlepas pandang tetapi tidak wajar sekiranya pukul sama rata seperti meletakkan keseluruhan pusat pengajian tersebut berkemungkinan mempunyai fahaman ekstremis atau pusat melahirkan seorang pengganas.

“Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar. Saya kira tiada istilah ekstrimis dan keganasan tatkala mengikut silibus yang diterapkan dalam pengajian pondok ini,” katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajar yang paling membimbangkan jika dibiar tanpa sebarang pemantauan daripada kerajaan.

Beliau berkata, sesebuah sekolah pondok sepatutnya diberi panduan dan diaudit berkala serta mempunyai silibus mata pelajaran yang ditetapkan.

“Dalam keadaan sekarang, sama ada berdaftar atau tidak, semua berpotensi (menjadi ekstremis). Sebab apa? Sebab tiada silibus yang jelas. Tiada siapa yang audit. Sekolah pondok ini ibarat satu daerah yang dibiarkan oleh semua orang.

“Pondok ini perlu diberi perhatian sebab mereka tiada sistem untuk membangunkan institusi berkenaan. Kadang-kala ada yang sampai terpaksa minta sedekah pula. Itu yang jadi ekstremis. Sekolah pondok perlu dibantu,” katanya.

Dalam pada itu, Shuzaimee Aidy berkata, kenyataan tanpa bukti yang kukuh sepatutnya tidak perlu disebar dan diwar warkan kerana gusar ia akan membawa ke arah kemudaratan yang berpanjangan kelak.

“Kononnya sekolah pondok menjadi pusat penyebaran fahaman ekstrem jika tidak ikut aturan dan acuan daripada pihak kerajaan, sedangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan statistik pada Januari 2019, menunjukkan tidak ada sekolah tahfiz atau pondok terlibat dengan aktiviti keganasan atau mana-mana fahaman salah,” katanya.

Katanya, sejarah telah membuktikan, pelajar keluaran daripada pengajian berteraskan pondok itu telah berjaya mendidik peribadi dan sahsiah yang terpuji dalam diri masing-masing. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya