Siapa susah? kasihan bapa dan isteri kamu - Hakim - Utusan Malaysia

Siapa susah? kasihan bapa dan isteri kamu – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kamu sanggup beri (duit rompakan) kepada keluarga kamu? Sekarang siapa susah, kasihan pada bapa dan isteri kamu.”

Demikian kata-kata Hakim Mahkamah Sesyen, Emilia Kaswati sebelum menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan ke atas dua lelaki setiap seorang.

Terdahulu, Mohd. Nazir Bahli, 36, dan Ahmad Shahmi Azmi, 31, mengaku bersalah atas tuduhan merompak sebuah kedai serbaneka. 

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa telah melakukan samun berkumpulan terhadap pekerja kedai tersebut, G. Voga Tarshiniy dengan mengambil wang tunai RM65 daripada mesin wang kedai itu di Taman Pertama, Cheras di sini pukul 9.03 malam pada 18 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat. 

Sebelum menjatuhkan hukuman, Emilia berkata, mahkamah mengambil kira alasan kedua-dua tertuduh dan hujah pemberatan hukuman pihak pendakwaan.

“Pengakuan bersalah kamu menjimatkan masa mahkamah, namun demikian, mahkamah kena seimbangkan yang kesalahan kamu lakukan ini adalah serius dan mahkamah harus memberi pengajaran kepada kamu dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya. 

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 19 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Ketika mengemukakan rayuan, kedua-dua tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan kerana mereka melakukan kesalahan itu kerana terdesak.

Selain itu, kedua-dua tertuduh turut menyatakan masing-masing mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Mohd. Nazir juga menyatakan isterinya kini sedang hamil lima bulan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya