SEREMBAN: Gabungan Tareqat Berdaftar Negeri Sembilan (G-Tariq) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung penutupan pusat Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Kampung Jawa, Labu di sini.
Pengerusi G-Tariq, Dr. Muhammad Firdaus Abdul Manaf berkata, penutupan itu hanya melibatkan sebuah pusat sahaja daripada 18 tarekat yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 yang turut diselia Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMKNNS)
“Baki 17 tarekat yang lain masih beroperasi seperti biasa, diiktiraf oleh JMKNNS, Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan dan Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan.
“Ini selaras dengan peruntukan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
“Penutupan ini bukan bermaksud pembatalan pendaftaran tarekat ini serta-merta tetapi bagi memastikan siasatan lanjut dilakukan dengan teliti, adil dan berhemah mengikut prosedur dan lunas undang-undang yang diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan mengenai pendaftaran tarekat tersebut.
Jelas beliau, pada awal Julai lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.
Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, tindakan tegas oleh JMKNNS tersebut sekali gus menunjukkan tindakan kawal selia tarekat yang proaktif melalui Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dan benar-benar berfungsi dengan baik serta berintegriti.
“Semua pihak diminta bertenang serta tidak menjadikan isu ini polemik yang akhirnya mengundang perdebatan dan ketidakharmonian dalam masyarakat.
“Kita perlu merujuk kepada pihak autoriti agama apabila berhadapan dengan sebarang konflik dan kontroversi. Semua pihak seharusnya memahami bidang kuasa masing-masing tanpa menceroboh bidang kuasa pihak lain,” tambah beliau. – UTUSAN