Sembilan negeri sudah sedia hadapi PRU15 - Tok Mat - Utusan Malaysia

Sembilan negeri sudah sedia hadapi PRU15 – Tok Mat

HASNI Mohamad menunjukkan plak 48 tahun konvensyen BN yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hassan pada Majlis Perjumpaan Pengarah Plihanraya BN Bersama Jentera Pilihanraya Johor di Hotel Opero, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jentera Barisan Nasional (BN) di sembilan negeri  sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sembilan negeri berkenaan adalah negeri-negeri yang telah dikunjunginya bagi sesi libat urus gabungan berkenaan.

“Berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, kita dapati Johor khususnya tahap kesiapsiagaan sudah tinggi, boleh jadi kerana baru lepas Pilihan Raya Negeri (PRN). Semangat masih tinggi kerana berjaya dengan cemerlang, semangat dan jawatankuasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga masih ada.

“Jika hendak diberitahu tahap kesiapsiagaan, Johor berada pada tahap lapan daripada 10,” katanya dalam sidang akhbar selepas program perjumpaan dengan Jentera BN Johor, di Hotel Opero, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri  Ir. Hasni Mohammad; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sembilan negeri berkenaan ialah Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Pulau Pinang.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, secara keseluruhannya tahap kesediaan jentera BN bagi menghadapi PRU15 adalah baik.

“Walau bagaimanapun, bagi Johor, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan ditambah baik agar permasalahan dihadapi ketika PRN lalu tidak berulang semula ketika PRU akan datang.

“Ini kerana ketika PRN, jentera BN negeri dibantu oleh jentera dari seluruh negara, namun dalam PRU kelak, jentera negeri akan berhadapan secara berseorangan. Jadi, kesiapsiagaan perlulah menyeluruh,” ujarnya.

Beliau mengingatkan semua parti komponen dan parti ‘Friends of BN’ mesti bergerak sebagai jentera BN dan bukannya mewakili parti masing-masing.

“BN adalah sebuah gabungan parti politik yang sah dan disebabkan itu kita akan menghadapi PRU ini dan bergerak sebagai sebuah pasukan, bukan jentera parti tetapi jentera BN,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya