MELAKA: Seramai sembilan ‘bayi merdeka‘ dilahirkan di Hospital Melaka di sini bermula pukul 3.32 pagi sehingga 9.38 pagi tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan secara normal dan pembedahan.
Menurutnya, bayi pertama dilahirkan merupakan bayi lelaki seberat 2.31 kilogram (kg) manakala bayi terakhir adalah bayi perempuan.
“Tradisi yang kita buat setiap kali sambutan kemerdekaan adalah meraikan bayi-bayi yang lahir pada 31 Ogos.
“Anak-anak inilah dipanggil ‘anak-anak merdeka’ dan saya doakan mereka menjadi anak soleh dan menjadi pemimpin suatu hari nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Bayi Merdeka di Hospital Melaka di sini hari ini.
Sulaiman dan isteri, Datin Seri Munirah M. Yusop bertemu dengan kesemua sembilan ibu yang melahirkan anak merdeka, disamping menyampaikan sumbangan hamper.
Sementara itu, seorang ibu, Suzzana Mohd Shah, 39, dari Cheng berkata, hanya rasa syukur dapat dizahirkan apabila selamat melahirkan anak keenamnya dalam keadaan selamat dan lebih penting pada Hari Kemerdekaan Ke-65.
“Sepatutnya saya jalani pembedahan 2 September ini tetapi ini dinamakan anugerah Allah.
“Malah, saya bangga juga daripada enam anak ini, sorang ini terpilih sebagai ‘anak merdeka’ yang pertama lahir di Hospital Melaka pada sambutan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui.
Bagi seorang lagi ibu, Hannah Saniah Muhd Safiq Goh, 29, berasal dari Kampung Beringin, Alor Gajah, dia langsung tidak menyangka anak pertamanya akan lahir pada tanggal 31 Ogos memandangkan tarikh kelahiran sepatutnya adalah pada dua hari lalu.
“Sepatutnya saya dijangka melahirkan anak dua hari lepas tetapi sudah terlajak dua hari dan tak sangka lahir sebagai ‘anak merdeka’.
“Syukur Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan oleh Allah. Kelahiran bayi merdeka ini sangat menggembirakan saya,” katanya. –UTUSAN ONLINE