JERANTUT: Seramai 50 belia daerah ini dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Bandar Jengka dan Kuala Lumpur mengadakan aktiviti mendaki Bukit Panau setinggi 396 meter berdekatan Kampung Baharu di sini sebagai pengisian Program Hiking Merdeka Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Aktiviti itu merupakan inisiatif Bird Group Taman Negara (BGTN), Pejabat Parlimen Jerantut, Kolej Komuniti Jerantut dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baharu yang bermula pukul 7.45 pagi hari ini dilepaskan oleh Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Penyelaras Program, Sabri Abdullah berkata, Bukit Panau menjadi lokasi pendakian kerana berdekatan bandar Jerantut, manakala keunikannya dapat melihat awan karpet di puncaknya.
“Pelbagai kesukaran yang ditempuh terutama mendaki di laluan yang curam akhirnya peserta yang berusia antara 20 hingga 50 tahun mampu tiba di puncak dalam tempoh sejam.
“Kita kagum dengan semangat kekeluargaan membantu rakan peserta yang lemah dan kurang bertenaga akhirnya cita-cita tercapai untuk mengibarkan bendera Malaysia di puncak bukit ini,” katanya di Kampung Baharu di sini hari ini.
Peserta dari Kuala Tahan, Noris Nordin berkata, dia teruja dengan semangat kekeluargaan yang dizahirkan oleh peserta nampak lebih meriah sehingga hilang rasa lelah ketika tiba di puncak.
“Semangat kekeluargaan dan nilai patriotisme menerusi aktiviti ini adalah sejajar dengan tema sambutan, iaitu Keluarga Malaysia: Teguh Bersama,” katanya.
Aktiviti mendaki tersebut, menurut Noris dapat mendidik peserta mencintai alam sekitar khususnya Bukit Panau itu antara khazanah yang menjadi tarikan pelancong ke Jerantut selain Taman Negara Kuala Tahan dan Gua Bersejarah Taman Warisan Kota Gelanggi.
Peserta dari Kuala Lumpur, Ahmad Nazri Mohamad berkata, aktiviti mendaki Bukit Panau cukup signifikan antara pengisian sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah tersebut khususnya menarik perhatian pelancong luar dan pelawat domestik yang singgah di bandar Jerantut.
“Saya dimaklumkan ramai peserta pertama kali mendaki Bukit Panau serta lebih bersemangat ketika di tempat permulaan kaki bukit,” katanya. –UTUSAN ONLINE