PETALING JAYA: Kegiatan penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi di tengah-tengah perairan negara bukanlah perkara kecil sebaliknya ia melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan.
Perkara ini jelas apabila sebanyak 85 kes penyeludupan minyak diesel dan petrol dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam tempoh lima tahun ini sejak 2017 sehingga kini berlaku.
Lebih memeranjatkan, angkara aktiviti berkenaan juga telah menyebabkan kerajaan rugi RM5.12 juta sepanjang tempoh itu.
Daripada jumlah itu sebanyak 32 kes dilaporkan membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi dengan kerugian RM2.03 juta diikuti sebanyak 53 kes lagi melibatkan petrol dengan hasil sebanyak RM3.08 juta dirampas.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kira-kira satu atau dua sindiket dikesan melakukan aktiviti penyeludupan minyak dan petrol di perairan negara sepanjang tempoh berkenaan.
Kata beliau, sindiket-sindiket ini didapati telah mematikan Automatic Identification Systems (AIS) yang terdapat di kapal-kapal mereka bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa yang bertugas di perairan.
“Bukan itu sahaja, mereka juga telah memanipulasi sistem AIS tersebut dengan memasukkan data yang palsu yang mana ia akan menunjukkan lokasi palsu tentang keberadaan kapal dengan menggunakan AIS Simulator System.
“Sindiket juga didapati melakukan aktiviti pada waktu malam sehingga awal pagi dan lokasi yang selalu dilakukan luar dari kawasan perairan wilayah,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Mohd. Zubil, kebanyakkan kes yang dikesan melibatkan penjualan minyak diesel ke pasaran gelap dipercayai berlaku di luar kawasan Perairan Wilayah Malaysia yang mempunyai banyak kawasan pelantar minyak.
Ujar beliau, aktiviti ini dilakukan di kawasan laut yang luas seperti Laut China Selatan dan juga kawasan yang mempunyai bot-bot nelayan yang banyak bagi memudahkan penjualan minyak tersebut.
“Daripada maklumat yang diterima, kebanyakan penjualan ini lebih kepada kapal asing seperti kapal dagang dan bot nelayan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan negara mana yang mendapat manfaat berkenaan hasil penyelewengan berkenaan,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zubil, berdasarkan rekod Maritim Malaysia, jumlah tertinggi penyelewengan diesel dan petrol dikesan adalah pada 2019 iaitu melibatkan 13 kes dengan rampasan RM1.83 juta diikuti tahun ini dengan rampasan bernilai RM1.68 juta dengan 18 kes direkodkan.
“Bagi tahun lalu pula sebanyak RM1.14 hasil minyak dirampas dengan melibatkan 11 kes diikuti 2018 (RM112,00 kerugian dengan lapan kes); 2017 (RM93,420 kerugian dengan 13 kes) dan 2021 (RM66,930 dengan 22 kes).
“Berdasarkan statistik ini, kita dapati kegiatan penyelewengan membabitkan dua barangan bersubsidi ini sedikit meningkat tahun ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk pintu negara mula dibuka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Zubil menegaskan, pihaknya sama sekali tidak pernah mendiamkan diri malah pelbagai operasi penguatkuasaan giat dilakukan Maritim Malaysia.
Tegas beliau, Maritim Malaysia sentiasa memperkukuhkan sistem pengawasan laut (SWASLA) dalam mengawasi pergerakan kapal-kapal yang melalui ataupun bersauh di kawasan Zon Maritim Malaysia jika mencurigai.
“Kita juga telah menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan agensi luar dan dalam negara dari operasi, maklumat dan perisikan.
“Agensi juga mempertingkat operasi yang sedia ada dengan operasi khas dan bersepadu bagi menunjukkan kehadiran kapal di kawasan yang dipercayai sebagai hotspot,”katanya. –UTUSAN ONLINE