Saya tidak gembira walaupun terima cek RM15.25 juta -

Saya tidak gembira walaupun terima cek RM15.25 juta

AHMAD Zahid Hamidi (kanan) keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, untuk perbicaraan membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM65 juta. -UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa perasaan meskipun telah menerima RM5 juta daripada RM15.25 juta yang disumbang oleh seorang pemborong tekstil. 

Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak perlu menunjukkan sebarang kegembiraan ketika menerima wang tersebut kerana wang itu merupakan sumbangan untuk tujuan program kebajikan dan amal jariah. 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu  berkata, beliau hanya mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemberi sumbangan, Junaith Asharab Md. Shariff sebagai penghargaan.

Ahmad Zahid memberikan jawapan tersebut ketika sesi soal balas itu didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. 

Mohd. Afif: Datuk Seri tidak gembira diberi sumbangan? 

Ahmad Zahid: Eh, bukan untuk saya, saya tidak perlu gembira pun. Ucap terima kasih sahaja.  

Mohd. Afif: Tiada perasaan langsung? 

Ahmad Zahid: Saya tiada perasaan, (Sebab sumbangan) bukan untuk saya. 

Mohd. Afif: Walaupun sumbangan ini akan membantu tujuan kebajikan?

Ahmad Zahid: Yang arif, charity (kebajikan) ini secara jelasnya bukan untuk saya. 

Mohd. Afifi: Ya, faham. 

Ahmad Zahid: Ini untuk tujuan privilege (Istimewa), kenapa saya perlu gembira? Ini antara beliau (Junaith) dengan Allah. 

Pada Mei lalu, Ahmad Zahid dalam keterangannya menyatakan, wang berjumlah RM15.25 juta untuk Yayasan Akalbudi diasaskannya yang dimasukkan ke dalam firma guaman Tetuan Lewis & Co bukan rasuah, sebaliknya sumbangan Junaith untuk membangunkan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk.

Junaith didakwa menyumbangkan sebanyak RM15.25 juta bagi tempoh di antara Julai 2016 hingga Februari 2017. 

Pemborong itu juga pernah menyumbang bagi pembinaan masjid di India yang mana tulisan 30 juzuk ayat-ayat Al-Quran pada masjid itu dibuat daripada emas manakala perkataan ‘Bismillah’ pada permulaan setiap surah dibuat daripada berlian.

Ahmad Zahid dalam keterangan sebelum ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa projek MyEG kepada Junaith sebagai balasan kepada sumbangan yang diberikan kerana MyEG bukan di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Zahid, 68, kini dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Perbicaraan bersambung Isnin hadapan (29 Ogos) bagi pemeriksaan semula. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya