KUALA LUMPUR: Pelakon cantik, Anna Jobling, 22, menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia mempergunakan populariti pelakon, Merqeen untuk menyerlahkan namanya dalam industri hiburan.
Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu berkata, dia dan Merqeen mempunyai kelompok peminat masing-masing dan dia tidak perlu menumpang kemasyhuran orang lain semata-mata untuk dikenali.
“Saya percaya pada rezeki. Jika nanti ditakdirkan peminat saya berkurangan kerana tidak lagi bergandingan dengan Merqeen, saya terima. Saya tidak melihat perkara itu sebagai masalah besar.
“Saya mahu peminat menyokong kerana mereka menerima saya seadanya. Begitu juga dengan Merqeen. Saya percaya, peminat sudah matang dan akan tetap menyokong kami, sama ada digandingkan bersama atau tidak,” katanya.
Pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu juga menegaskan, isu tumpang populariti tidak sepatutnya ditimbulkan kerana dia dan Merqeen berusaha keras membuktikan kemampuan mereka.
“Kami bermula dari bawah dan naik dalam industri juga bersama-sama. Saya tidak pernah tumpang populariti dia, begitu juga Merqeen. Kami bernasib baik apabila Melur Untuk Firdaus mencetuskan fenomena hingga kami diterima, bukan hanya di negara sendiri, tetapi juga Indonesia.
“Kami pernah bercakap tentang perkara ini. Merqeen mengakui, kami tidak pernah menggunakan antara satu sama lain untuk kepentingan diri. Saya berharap semua pihak memberikan ruang untuk saya mencipta nama atas kekuatan bakat dan kelebihan diri,” tegasnya. – UTUSAN